TERAPI hippo.
TERAPI hippo.
TEKNIK tunggangan terapi hippo ini bukan seperti tunggangan biasa supaya pesakit dapat memberi
TEKNIK tunggangan terapi hippo ini bukan seperti tunggangan biasa supaya pesakit dapat memberi
NUR Aur Aisyahtul Raudhah Zam yang mengalami palsi serebrum menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani terapi hippo ini.
NUR Aur Aisyahtul Raudhah Zam yang mengalami palsi serebrum menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani terapi hippo ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Peranan haiwan dalam kehidupan manusia banyak bergantung kepada variasi keperluan seseorang individu itu.

Sejak berabad lamanya haiwan bukan saja sebagai teman kala kesunyian tetapi bertindak sebagai ‘orang kanan’ khususnya bagi golongan kelainan upaya (OKU).

Anjing banyak membantu golongan yang cacat penglihatan, kucing sebagai peneman di rumah penjagaan warga emas sementara monyet berupaya pesakit yang mengalami kelumpuhan.

Terapi haiwan ini nyata banyak memudahkan kehidupan seharian pesakit pelbagai latar belakang dan usia selain menjadi antara penyumbang besar kepada impak pulih dalam kalangan pesakit.

Begitu juga dengan kuda yang kini banyak digunakan bagi membantu pesakit kanak-kanak yang mengalami autisme, gangguan perkembangan kompleks, penyakit saraf, palsi serebrum, sindrom Down, epilepsi dan dispraksia.

Sejak beberapa dekad lalu, pakar perubatan dan terapi mengenal pasti kegunaan lain kuda lalu mendapati ia berupaya merawat pesakit menerusi kaedah dikenali ‘hippotherapy’.

‘Hippotherapy’ atau terapi hippo ini adalah antara kaedah rawatan pemulihan semula jadi yang menghubungkan pesakit dengan kuda dalam persekitaran yang sihat dan tenang.

‘Hippo’ bermaksud kuda dalam bahasa Greek manakala ‘hippotherapy’ bermaksud rawatan dengan bantuan kuda yang dilakukan pakar terapi fizikal, percakapan dan pekerjaan yang berlesen.

Pakar terapi ini menggunakan pergerakan multidimensi pada kuda untuk memudahkan pencapaian sasaran terapeutik ke atas pesakit.

Aktiviti fizikal menunggang kuda ini memberi peluang pesakit untuk berkomunikasi menerusi aktiviti yang mereka rasakan selesa dan tanpa tekanan.

Dengan melakukan aktiviti bersama kuda, skil kemahiran orientasi dan imbangan badan dapat dibangunkan khusus dalam kalangan pesakit kanak-kanak.

Deria dirangsang menerusi beberapa aspek antaranya sentuhan, pergerakan dan perubahan arah yang semuanya adalah sebahagian daripada intrinsik pembelajaran untuk menunggang kuda.

Bagaimanapun, menurut Perunding Pediatrik Ramsay Sime Darby Health Care Dr Ali Azman Minhaj, terapi ini bukan mengajar pesakit cara untuk menunggang kuda tetapi membantu merawat mereka dengan menggunakan kuda.

“Terapi hippo ini lebih inovatif dalam memulihkan pesakit terutama kanak-kanak yang mengalami masalah ketidakupayaan fizikal dan mental.

“Terapi ini bukan saja membantu memperbaiki postur tubuh pesakit, malah merangkumi keupayaan memberi tumpuan dan integrasi deria.

“Ia turut berupaya meningkatkan skil lain pada pesakit yang membabitkan skil motor seperti duduk, berdiri dan berjalan,” katanya.

Namun mengapa kuda yang jadi pilihan?

Menurut Dr Ali, kuda mempunyai pergerakan unik tiga dimensi yang memberikan pergerakan berirama seakan sama seperti pergerakan kaki manusia ketika berjalan.

“Terapi ini membuatkan pergerakan kuda mempengaruhi keadaan pesakit lalu membuatkan pesakit memberi maklum balas kepada pergerakan itu.

“Teknik tunggangannya juga bukan seperti tunggangan biasa. Pakar terapi terlebih dulu mengenal pasti keperluan pesakit dan seterusnya merangka teknik yang sesuai,” katanya.

Di Malaysia, terapi hippo ini pertama kali diperkenalkan Green Apple Hippotherapy dengan sokongan penuh Sime Darby Health Care dan Majlis Ekuin Malaysia.

Setiap pesakit diberi perhatian penuh oleh pakar terapi, pengendali kuda ‘Hippotherapy’ (HHH) dan dua pembantu di kiri serta kanan kuda.

Sebanyak 12 sesi dilakukan dan sejurus tamat, pesakit boleh memilih untuk meneruskan rawatan kepada penunggangan terapeutik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 10:03 AM