REMAJA 15 tahun antara penagih dadah yang ditahan Agensi AADK dalam operasi di Kempadang Perdana. FOTO Azim Fitri
REMAJA 15 tahun antara penagih dadah yang ditahan Agensi AADK dalam operasi di Kempadang Perdana. FOTO Azim Fitri
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Pada usia 15 tahun, seorang remaja lelaki sudah mencipta ‘rekod’ apabila didapati positif tiga jenis dadah iaitu heroin, ganja dan pil kuda.

Remaja yang sepatutnya menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) itu bagaimanapun ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Penagih muda itu yang ditahan di sebuah rumah di Kempadang Perdana di sini, jam 10 pagi kelmarin kemudian dibawa ke Ibu Pejabat AADK Kuantan untuk tindakan lanjut.

Wartawan yang berpeluang menemu bual remaja itu di Ibu Pejabat AADK Kuantan dimaklumkan bahawa remaja itu tidak lagi bersekolah dan sudah setahun terbabit dengan gejala penagihan dadah.

“Saya tak minat sekolah dan tidak ingin ke sekolah... saya belajar hisap dadah daripada kawan-kawan, mula-mula rasa seronok selepas itu jadi ketagih.

“Ibu bapa saya tahu saya menagih dadah tetapi mereka hanya diam,” katanya.

Dia memberitahu tiada wang membeli dadah berkenaan dan hanya mengikut rakan yang menjadi tokan dan kini mula berjinak-jinak dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Saya jual pil kuda pada harga RM15 sebiji, dadah lain bergantung pada harga pasaran... saya banyak belajar daripada rakan mengenai urusan pembelian dan penjualan dadah ini. Bila ikut rakan, saya dapat hisap secara percuma,” katanya.

Dia turut mengakui pernah ditahan polis sebelum Syawal lalu dan dibebaskan dengan jaminan.

Sementara itu, Pengarah AADK negeri, Rujhan Ramli berkata, ujian saringan air kencing ke atas remaja terbabit mendapati dia positif tiga jenis dadah.

“AADK sudah memanggil ibu bapa remaja itu dan mungkin dia dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk program pemulihan dan kaunseling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 6:52 AM