FOTO menunjukkan asap susulan serangan Israel di selatan Lubnan, pada 25 Jun 2024. FOTO AFP
FOTO menunjukkan asap susulan serangan Israel di selatan Lubnan, pada 25 Jun 2024. FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Beirut: Sekurang-kurangnya 435 orang terbunuh dan 1,801 lagi cedera dalam serangan Israel di Lubnan sejak 8 Oktober lepas, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan pada Rabu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memaklumkan 44 peratus daripada kecederaan disebabkan oleh trauma, 35 peratus akibat letupan, manakala 16 peratus berkaitan dengan bahan kimia.

Kementerian itu berkata, 95 peratus daripada mangsa yang cedera adalah warga Lubnan, tanpa menyatakan kewarganegaraan mangsa yang lain.

Lubnan menuduh Israel menggunakan bom fosforus putih dalam serangan di bahagian selatan negara itu.

Kementerian itu berkata, serangan Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 92,228 orang kehilangan tempat tinggal sejak 8 Oktober lepas.

Ketegangan meningkat di sepanjang sempadan Lubnan dengan Israel ketika Tel Aviv meneruskan serangannya ke atas Semenanjung Gaza, yang membunuh lebih 37,700 orang sejak Oktober lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:56 PM