Gambar fail menunjukkan mangsa yang cedera akibat terkena bom yang mengandungi fosforus putih. - FOTO Reuters
Gambar fail menunjukkan mangsa yang cedera akibat terkena bom yang mengandungi fosforus putih. - FOTO Reuters
AFP

Beirut: Penduduk yang tinggal di sebuah perkampungan yang terletak berhampiran sempadan dekat selatan Lubnan terhidu bau fosforus selepas Israel mengebom kawasan itu.

Mohammad Hammud menceritakan pengalamannya terhidu bau pelik seakan fosforus sewaktu berada di rumah bersama isterinya, selepas rejim Zionis melancarkan serangan di sekitar kawasan itu.

Warga emas berusia lewat 70-an itu berkata isterinya dikejarkan ke hospital di Mais al-Jabal kerana perlu menerima rawatan termasuk diberikan oksigen.

"Kebakaran berlaku di hadapan rumah, ada bau pelik. Kami mengalami kesukaran bernafas.

"Kami fikir ia adalah pengeboman biasa tetapi apabila petugas kecemasan tiba, mereka beritahu kami ia adalah fosforus dan membawa kami ke hospital," katanya yang berasal dari Hula, sebuah kampung kecil.

Lubnan menuduh Israel menggunakan bom fosforus putih yang kontroversi dalam serangan yang dikatakan pihak berkuasa memudaratkan orang awam serta alam sekitar.

Bom fosforus putih boleh menyebabkan kecederaan ngeri serta-merta pada paru-paru, jantung, hati dan buah pinggang, selain berupaya melecurkan kulit serta otot manusia.

Penggunaan senjata berasaskan fosforus putih dilihat boleh membawa kemudaratan teruk. Ia boleh diserap ke dalam badan apabila disedut, ditelan atau melalui sentuhan kulit.

Fosforus putih, bahan yang menyala apabila bersentuhan dengan oksigen boleh digunakan untuk mencipta pelindung asap dan menerangi medan perang.

Menurut kumpulan Pemerhati Hak Asasi, penggunaan meluas fosforus putih oleh Israel di selatan Lubnan meletakkan orang awam dalam risiko besar, sehingga memaksa orang ramai berpindah.

Badan pemerhati antarabangsa itu mengesahkan penggunaan peluru fosforus putih oleh tentera Israel, sekurang-kurangnya di 17 bandar dekat selatan Lubnan sejak Oktober lalu, termasuk lima di mana ia digunakan secara tidak sah di kawasan perumahan berpenduduk.

Walaupun Israel menafikan pengguna bom fosforus putih, agensi berita kebangsaan rasmi Lubnan berulang kali melaporkan pengeboman fosforus dilakukan rejim Zionis di selatan Lubnan, termasuk dalam beberapa hari kebelakangan ini, kadangkala serangan menyebabkan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 4:16 PM