KENDERAAN tentera Israel beroperasi di sebelah Gaza di Lintasan Rafah. FOTO Israel Defense Forces/Reuters
KENDERAAN tentera Israel beroperasi di sebelah Gaza di Lintasan Rafah. FOTO Israel Defense Forces/Reuters
AFP

Rafah, Wilayah Palestin: Israel mengebom Semenanjung Gaza, termasuk Rafah, pada Sabtu, sehari selepas mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkannya menghentikan operasi ketenteraan di bandar selatan itu ketika usaha sedang dijalankan di Paris untuk mendapatkan gencatan senjata dalam perang yang dicetuskan oleh serangan 7 Oktober oleh Hamas.

Beberapa jam selepas keputusan ICJ, Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada awal Sabtu sementara pertempuran antara tentera Israel dan kumpulan Hamas berterusan.

Saksi Palestin dan pasukan AFP melaporkan serangan Israel berlaku di Rafah dan pusat bandar Deir al-Balah.

"Kami berharap keputusan mahkamah akan memberi tekanan kepada Israel untuk menamatkan perang ini, kerana tiada apa yang tinggal di sini," kata Oum Mohammad Al-Ashqa, seorang wanita Palestin dari bandar Gaza yang dipindahkan ke Deir al-Balah akibat perang.

"Tetapi Israel adalah sebuah negara yang menganggap dirinya di atas daripada undang-undang.

"Jadi, saya tidak percaya bahawa tembakan atau peperangan akan berhenti selain dengan kekerasan," kata Mohammed Saleh, yang turut ditemui AFP di bandar tengah Semenanjung Gaza.

Terdahulu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga menuntut pembebasan segera semua tebusan yang masih ditahan, beberapa jam selepas tentera Israel mengumumkan mereka menemui tiga lagi mayat tawanan dari utara Gaza.

Mahkamah yang berpangkalan di Hague, yang perintahnya mengikat secara sah tetapi tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan langsung, juga mengarahkan Israel untuk terus membuka persimpangan Rafah antara Mesir dan Gaza, yang ditutup awal bulan ini pada permulaan serangan ke atas bandar itu.

Israel tidak memberikan petanda yang menunjukkan mereka bersedia melakukan perubahan di Rafah, dengan menegaskan mahkamah itu tersalah faham.

Ia berkata operasi di Rafah tidak akan dilakukan dengan cara yang 'boleh menimbulkan keadaan kehidupan penduduk awam Palestin di Gaza yang boleh membawa kepada kehancuran fizikalnya sepenuhnya atau sebahagian'.

"Israel tidak akan menjalankan operasi ketenteraan di Rafah yang 'boleh menimbulkan keadaan kehidupan penduduk awam Palestin di Gaza yang boleh membawa kepada kehancuran fizikalnya sepenuhnya atau sebahagian'," kata Penasihat Keselamatan Negara, Tzachi Hanegbi dalam kenyataan bersama jurucakap kementerian luar luar Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 2:38 PM