Mesut Hancer memegang gambar anaknya Irmak yang meninggal dunia setahun lalu dalam kejadian gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria. - FOTO AFP
Mesut Hancer memegang gambar anaknya Irmak yang meninggal dunia setahun lalu dalam kejadian gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria. - FOTO AFP
AFP

Ankara: Foto Mesut Hancer memegang tangan anak perempuannya, Irmak, yang sudah meninggal dunia namun masih terperangkap di celah runtuhan bangunan, melambangkan kesedihan gempa bumi yang dahsyat di Turkiye.

Sejak bencana 6 Februari tahun lalu meragut lebih 53,500 nyawa di Turkiye dan hampir 6,000 di Syria, bapa yang berduka dan keluarganya telah meninggalkan bandar Kahramanmaras yang sebahagiannya musnah dan cuba membina semula kehidupan mereka di Ankara.

Mereka akan kembali ke zon gempa untuk memperingati ulang tahun pertama dan melawat kubur Irmak, yang terbunuh dalam tidurnya pada usia 15 tahun.

"Setahun telah berlalu tetapi masa telah berhenti untuk kami. Kesakitan ini tidak hilang," kata Hancer sambil duduk di ruang tamu yang dindingnya ditutup dengan gambar dan lukisan anak perempuannya.

"Saya tidak berhenti memikirkannya," tambah ibunya, Gulseren.

Gambar menyentuh hati yang diambil jurugambar AFP, Adem Altan tahun lalu. - FOTO AFP
Gambar menyentuh hati yang diambil jurugambar AFP, Adem Altan tahun lalu. - FOTO AFP

Sehari sebelum bencana itu, Irmak telah pergi ke rumah neneknya untuk menziarah sepupunya yang datang dari Istanbul dan Hatay.

Dia berkeras untuk bermalam, tidak pernah membayangkan bahawa hampir semua 22 bangunan tinggi di kompleks perumahan Ebrar neneknya akan tumbang, membunuh 1,400 orang.

Ketika Mesut dan anaknya Berkay, 23, dapat sampai ke tempat kejadian, hanya tinggal timbunan runtuhan.

Mereka terpaksa menunggu sehingga subuh untuk mula mencari Irmak, membersihkan serpihan dengan tangan kosong.

Mesut hanya melihat mayat anak perempuannya yang tidak bernyawa -- masih berbaring di atas tilamnya di antara dua kepingan konkrit berat -- pada keesokan harinya.

"Melihat dia seperti itu sangat menyakitkan saya," katanya.

Disebabkan kesedihan, dia duduk di sebelahnya dalam runtuhan, memegang tangannya yang sejuk dan pucat.

Irmak merupakan anak bongsu daripada empat anaknya.

Mesut tidak tahu berapa lama dia duduk di situ sebelum melihat jurugambar AFP Adem Altan menunjukkan kamera ke arahnya.

"Ambil gambar anak saya," bisik Mesut kepada Altan.

Imej itu mengejutkan.

Ia diambil oleh media dunia, menjadi tular dalam talian dan dikongsi ratusan ribu kali.

Terharu dengan cerita itu, Nejat Gulseven, ahli perniagaan Ankara yang memiliki saluran TV 100 Turkiye, menawarkan penginapan dan pekerjaan kepada Mesut, yang bekerja sebagai tukang roti di Kahramanmaras.

Sejak bencana itu, Berkay telah menjadi pegawai polis, berharap dapat menyertai salah satu unit mencari dan menyelamat khas yang dikerahkan semasa gempa itu.

"Kami cuba membiasakan diri dengan Ankara," kata Mesut.

"Saya juga kehilangan ibu, abang, kakak ipar dan anak saudara saya dalam gempa bumi. Tetapi ia tidak dapat menandingi kesakitan kehilangan anak."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 4:18 PM