Mesut Hancer memegang tangan anak perempuannya, Irmak. FOTO AFP
Mesut Hancer memegang tangan anak perempuannya, Irmak. FOTO AFP
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Mesut Hancer seperti orang lain turut menjadi mangsa gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria minggu ini.

Jika mangsa lain terputus hubungan dengan ahli keluarga mereka yang mungkin hilang di sebalik runtuhan, Hancer berjaya menemui anak perempuannya, Irmak.

Namun, Irmak masih di bawah runtuhan ketika ditemui dan Hancer hanya mampu memegang tangan anaknya yang ketika itu sudah tidak bernyawa.

Ketika ditemui di Kahramanmaras, Hancer hanya duduk di atas runtuhan dan terlalu sedih untuk bercakap.

Hanya foto yang diambil jurugambar menjadi saksi betapa luluhnya hati seorang ayah melepaskan tangan anak yang dikasihi hingga hujung nyawa.

Turut menyentuh hati adalah kisah di Syria di mana seorang bayi perempuan dilahirkan di bawah runtuhan, dengan keadaan tali pusat masih melekat dengan ibunya yang sudah meninggal dunia.

Bayi itu adalah satu-satunya ahli keluarga yang terselamat, sementara ibu, bapa dan adik-beradiknya yang lain terbunuh.

Pada Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pertama dilaporkan berlaku pada 04:17 pagi (0117 GMT) pada kedalaman kira-kira 18 kilometer berhampiran bandar Gaziantep di Turkiye, yang menempatkan kira-kira dua juta orang.

Ia diikuti dengan gegaran 7.5 magnitud yang lebih kecil dan banyak gegaran susulan dilaporkan berlaku.

Ketika artikel ini ditulis, jumlah mangsa yang maut mencecah 16,000 di kedua-dua negara dengan pihak berkuasa mengatakan bahawa masih ramai yang hilang dan dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.

Usaha menyelamat awal dihalang oleh ribut musim sejuk yang menutup jalan utama dengan ais dan salji serta menyebabkan tiga lapangan terbang utama di kawasan itu tidak dapat beroperasi, menyukarkan penghantaran bantuan penting.

Mereka yang terselamat masih boleh ditarik keluar dari bangunan runtuh, walaupun pakar bencana memberi amaran bahawa peluang untuk menyelamatkan nyawa menurun secara mendadak selepas 72 jam bencana itu berlalu.

Beberapa kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antara Kahramanmaras dan Gaziantep, di mana seluruh blok bangunan di bandar runtuh.

Turkiye berkata hampir 3,000 bangunan runtuh di tujuh wilayah berbeza, termasuk hospital awam.

Sebuah masjid terkenal sejak abad ke-13 sebahagiannya runtuh di wilayah Maltaya, di mana sebuah bangunan 14 tingkat dengan 28 pangsapuri yang menempatkan 92 orang runtuh.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Rabu mengakui 'kekurangan' selepas kritikan terhadap tindak balas kerajaannya dalam menangani gempa bumi besar itu.

Operasi bantuan yang dihulurkan pelbagai negara bagaimanapun telah dihalang oleh cuaca sejuk.

AFP melaporkan, mereka yang terselamat dibiarkan berebut-rebut untuk mendapatkan makanan dan tempat tinggal dan dalam beberapa kes terdapat mangsa melihat saudara mereka memanggil untuk diselamatkan, dan akhirnya diam di bawah serpihan.

Namun, penyelamat terus mencari dan menarik mangsa dari serpihan walaupun selepas tiga hari gempa bumi itu berlaku - antara yang paling dahsyat abad ini.

Erdogan juga mengakui kekurangan dalam usaha tindak balas kerajaannya dalam menangani situasi buruk berkenaan.

Katanya, ia tidak bersedia menghadapi bencana seburuk itu.

Ketika ini, penyelamat berlumba dengan masa untuk mencari mangsa yang masih hidup memandangkan sudah lebih 72 jam selepas bencana ini berlaku.

Mereka yang terselamat pula berdepan masalah tersendiri apabila tidur di luar bangunan atau dalam kereta dengan keadaan cuaca sejuk beku.

Sama ada kediaman mereka musnah sama sekali akibat gempa berkenaan atau mereka terlalu takut untuk memasuki mana-mana bangunan kerana bimbang berlakunya gegaran baharu.

Di saat kita tidur lena bertilam empuk di kediaman masing-masing, teruskan berdoa untuk kesejahteraan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Semoga Turkiye dan Syria segera bangkit dari trauma ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 6:15 AM