DETIK Mesut menyentuh tangan anak perempuannya yang sudah kaku di bawah runtuhan bangunan dirakam jurufoto AFP mengundang perkongsian ratusan ribu mereka yang simpati dengan tragedi gempa bumi di Turkiye. FOTO AFP
DETIK Mesut menyentuh tangan anak perempuannya yang sudah kaku di bawah runtuhan bangunan dirakam jurufoto AFP mengundang perkongsian ratusan ribu mereka yang simpati dengan tragedi gempa bumi di Turkiye. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Setahun lalu, Mesut Hancer berdepan tragedi yang pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

Tanggal 6 Februari 2023, bumi Turkiye dan Syria 'digoncang' gempa dahsyat dengan kekuatan 7.8 magnitud, meragut lebih 53,000 nyawa di Turkiye serta hampir 6,000 di Syria.

Mesut yang menetap di bandar Kahramanmaras, ditemui jurufoto AFP, Adem Altan yang membuat liputan di kawasan bencana.

Ketika itu, Mesut hanya duduk di sebelah jenazah anaknya yang tertimbus bawah runtuhan, hanya tangannya kelihatan dan dapat dicapai.

Detik menyayat hati itu dirakam Altan yang seterusnya menjadi tular di seluruh dunia.

Mesut enggan melepaskan tangan anak perempuannya, Irmak yang berusia 15 tahun saat tubuhnya terbaring tidak bermaya di antara kepingan konkrit.

Setahun berlalu, kenangan pedih itu masih segar dalam ingatannya dan dia mengatakan bahawa kesakitannya tidak hilang.

Sehari sebelum bencana itu, Irmak pergi ke rumah neneknya untuk menziarah sepupunya yang datang dari Istanbul dan Hatay.

Dia berkeras untuk bermalam, tidak pernah membayangkan bahawa hampir semua 22 bangunan tinggi di kompleks perumahan Ebrar yang didiami neneknya akan tumbang, membunuh 1,400 orang.

Ketika Mesut dan anaknya, Berkay, 23, dapat sampai ke tempat kejadian, hanya tinggal timbunan runtuhan.

Mereka terpaksa menunggu sehingga Subuh untuk mula mencari Irmak, membersihkan serpihan dengan tangan kosong.

Mesut hanya melihat jasad anak perempuannya yang tidak bernyawa, masih berbaring di atas tilamnya di antara dua kepingan konkrit berat, pada keesokan harinya.

Katanya, melihat keadaan itu sungguh menyakitkan hatinya.

Disebabkan kesedihan, dia duduk di sebelah jenazah anaknya yang tersekat dalam runtuhan, memegang tangannya yang sejuk dan pucat.

Irmak adalah anak bongsu daripada empat anaknya dan kejadian itu benar-benar mematahkan semangatnya.

Foto diambil Altan dikongsi oleh ratusan ribu kali di seluruh dunia dan ia menarik perhatian Nejat Gulseven, seorang ahli perniagaan Ankara yang memiliki saluran TV 100 Turkiye.

Simpati dengan nasib menimpa Mesut, dia menawarkan penginapan dan pekerjaan kepada anak lelakinya, Berkay, yang ketika itu bekerja sebagai tukang roti di Kahramanmaras.

Sejak bencana itu, Berkay telah menjadi pegawai polis, berharap dapat menyertai salah satu unit mencari dan menyelamat khas yang dikerahkan semasa gempa itu.

Mesut berkata, tragedi itu menyebabkan dia kehilangan ibu, abang, kakak ipar dan anak saudara, namun kesakitan kehilangan anak kandungnya adalah yang paling menyakitkan serta menyayat perasaan.

Pada 6 Februari lalu, beribu-ribu mangsa gempa bumi berkumpul di Antakya sempena ulang tahun pertama tragedi berkenaan.

Bencana 6 Februari tahun lalu meratakan sebahagian besar bandar di 11 wilayah tenggara Turkiye dan sebahagian Syria, menjadi malapetaka terburuk di wilayah itu dalam tempoh beberapa abad.

Pada masa sama, perhimpunan serupa turut berlangsung di Kahramanmaras.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, terselamat daripada kritikan awal mengenai respons penyelamat yang lambat bertindak balas terhadap kecemasan paling teruk dalam pemerintahannya selama dua dekad.

Erdogan berjanji untuk membina semula wilayah itu dan tahun ini, beliau berjaya menyerahkan kunci rumah untuk mangsa yang terselamat serta bakal menyerahkan 200,000 pangsapuri menjelang akhir tahun ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 7:01 AM