LELAKI berjalan berhampiran runtuhan bangunan susulan gempa bumi di Antakya, Turkiye. FOTO Reuters
LELAKI berjalan berhampiran runtuhan bangunan susulan gempa bumi di Antakya, Turkiye. FOTO Reuters
AFP

Istanbul: Angka kematian akibat gempa bumi yang memusnahkan sebahagian Turkiye dan Syria mencecah lebih 41,000 pada Jumaat, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu AS$1 bilion (kira-kira RM4.42 bilion) bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.

Selepas 11 hari kejadian, pasukan keselamatan Turkiye membawa keluar seorang gadis berusia 17 tahun dan seorang wanita berusia 20-an dari runtuhan.

Pelombong arang batu, Ali Akdogan yang terbabit operasi itu menyelamatkan Aleyna Olmez di Kahramanmaras, sebuah bandar berhampiran pusat gempa.

"Dia kelihatan sihat. Dia membuka dan menutup matanya," katanya harapan untuk mencari lagi mangsa yang terselamat semakin pudar.

Ramai di zon terjejas menghadapi kecemasan yang teruk dalam keadaan beku, tanpa makanan, air dan tandas.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam satu kenyataan memaklumkan kemudahan itu sangat diperlukan dan memohon dana bagi membantu mangsa.

Beliau berkata, sumbangan itu akan memberikan bantuan kemanusiaan selama tiga bulan kepada 5.2 juta orang.

Katanya, wang itu akan membolehkan organisasi bantuan meningkatkan sokongan penting dengan pantas termasuk dalam bidang keselamatan makanan, perlindungan, pendidikan, air dan tempat tinggal.

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa usaha kritikal ini sebagai tindak balas kepada salah satu bencana alam terbesar zaman ini," katanya.

Pegawai perubatan berkata, 38,044 orang meninggal dunia di Turkiye dan 3,688 di Syria akibat gegaran pada 6 Februari lalu, menjadikan jumlah korban disahkan meningkat kepada 41,732 orang.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menolak keras tuduhan bahawa kerajaannya gagal dalam bertindak balas terhadap bencana alam paling dahsyat di negara itu pada zaman moden.

Hasan Irmak, 57, melihat lima ahli keluarga termasuk anak perempuannya, Belinda yang berusia enam tahun dikebumikan di bawah rumahnya di bandar wilayah sempadan Syria, Samandag.

"Saya bercakap dengannya dalam runtuhan. Kemudian, dia kehilangan semua tenaganya dan pada hari ketiga, dia mati. Bantuan tiba pada hari keempat," katanya.

Turkiye menangguhkan operasi menyelamat di beberapa wilayah dan Syria yang berdepan perang saudara melakukan perkara sama di kawasan yang dikuasai kerajaan.

Persatuan Palang Merah pada Khamis lalu memaklumkan pembiayaan kecemasan lebih AS$700 juta (kira-kira RM3.10 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 10:28 AM