TENTERA Israel  menahan lelaki Palestin ketika operasi ketenteraan di daerah Zeitoun di selatan Semenanjung Gaza pada November 19 2023.]FOTO AFP.
TENTERA Israel menahan lelaki Palestin ketika operasi ketenteraan di daerah Zeitoun di selatan Semenanjung Gaza pada November 19 2023.]FOTO AFP.
Reuters

Baitulmaqdis: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mendedahkan, kakitangannya yang dibebaskan daripada tahanan Israel dipaksa untuk mengaku organisasi itu mempunyai hubungan dengan Hamas dan terbabit dalam serangan 7 Oktober lalu.

Dakwaan itu terkandung dalam laporan UNRWA bertarikh Februari lalu yang disemak Reuters, memperincikan dakwaan penganiayaan Israel terhadap tahanan warga Palestin yang tidak didedahkan termasuk beberapa pekerja UNRWA.

Pengarah komunikasi UNRWA, Juliette Touma berkata, agensi itu merancang untuk menyerahkan maklumat dalam laporan setebal 11 muka surat yang tidak diterbitkan itu kepada agensi di dalam dan di luar PBB, khusus dalam mendokumentasikan potensi pelanggaran hak asasi manusia.

"Apabila perang berakhir, perlu ada satu siri siasatan untuk melihat semua pencabulan hak asasi manusia," katanya.

Laporan itu melaporkan layanan dan penderaan teruk diterima kakitangan UNRWA yang ditahan tentera Israel, seperti dipukul, penghinaan, serangan anjing, keganasan seksual dan kematian tahanan yang dinafikan rawatan perubatan serta ancaman bahaya kepada ahli keluarga.

"Kakitangan agensi tertakluk kepada ancaman dan paksaan pihak berkuasa Israel semasa dalam tahanan dan ditekan untuk membuat kenyataan palsu termasuk agensi itu mempunyai hubungan dengan Hamas dan kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam kekejaman 7 Oktober 2023," kata laporan itu.

Laporan itu menyebut UNRWA mendokumentasikan pembebasan 1,002 tahanan berusia enam hingga 82 tahun yang dikembalikan melalui Kerem Shalom sejak Disember 2023 hingga 19 Februari lalu.

Mengulas laporan itu, seorang jurucakap tentera Israel tidak secara khusus menjawab dakwaan kakitangan UNRWA yang dipaksa, namun berkata, Angkatan Pertahanan Israel bertindak mengikut undang-undang Israel dan antarabangsa untuk melindungi hak tahanan.

Katanya, Israel juga menafikan dakwaan umum dan tidak berasas mengenai penderaan seksual terhadap tahanan.

Sebelum ini, Israel mendakwa, 12 daripada 13,000 kakitangan UNRWA di Gaza mengambil bahagian dalam serangan Hamas 7 Oktober ke atas Israel menyebabkan 16 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menghentikan sementara dana AS$450 juta (RM2.1 bilion) dalam pembiayaan UNRWA.

Terbaharu, tentera Israel melemparkan tuduhan terhadap UNRWA pada 4 Mac dengan mengatakan agensi itu menggaji lebih 450 anggota tentera Hamas dan kumpulan bersenjata lain.

Israel memberitahu berkongsi maklumat risikannya dengan PBB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 1:11 PM