PENDUDUK Palestin membawa barangan bantuan yang diagihkan UNRWA. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin membawa barangan bantuan yang diagihkan UNRWA. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Jepun menyertai negara lain dalam menggantung pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Kementerian Luar Jepun berkata, dakwaan kakitangan agensi itu terbabit dengan Hamas dalam serangan 7 Oktober lalu sangat membimbangkan

"Sebagai tindak balas, Jepun memutuskan untuk menggantung pembiayaan tambahan kepada UNRWA buat masa ini sementara UNRWA menjalankan siasatan ke atas perkara itu dan mempertimbangkan langkah untuk menangani dakwaan itu.

"Pada masa sama, Jepun akan terus melakukan usaha diplomatik aktif untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan untuk menenangkan keadaan secepat mungkin dengan memberikan sokongan kepada pertubuhan antarabangsa lain," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, UNRWA memecat beberapa kakitangannya atas dakwaan Israel serta menjanjikan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan itu.

Israel pula berikrar menghentikan kerja agensi itu di Gaza selepas perang tamat.

Beberapa penderma utama agensi itu termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Jerman menghentikan pembiayaan kepada UNRWA yang menjadi nadi usaha kemanusiaan di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 10:28 AM