PENJUAL roti melalui runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
PENJUAL roti melalui runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
BERNAMA

Gaza: Melihat kepada situasi yang semakin buruk di wilayah Gaza, China akan memberikan bantuan kemanusiaan kecemasan sebanyak AS$1 juta (RM 4.13 juta) kepada Palestin.

Wakil Tetap China ke pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva merangkap wakil China ke Pertubuhan Antarabangsa di Switzerland, Chen Xu berkata demikian dalam ucapannya menerusi rakaman video eksklusif semalam.

"China akan menyumbang AS$1 juta lagi dan 200 ribu dos vaksin Covid-19 kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

"Selain itu, pada 27 Mei, China turut menyuarakan sokongan kepada sesi khas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) mengenai keadaan hak asasi kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki," jelas Chen.

Tambah beliau, China menggesa Israel menghentikan tindakan meroboh rumah dan mengusir penduduk Palestin serta menghentikan pembinaan penempatan yang disifatkan mencabul hak asasi manusia.

Sementara itu, Israel juga digesa mengekalkan dan menghormati status sejarah Baitulmaqdis, menamatkan sekatan ke atas wilayah Gaza dan menjamin kepentingan dan hak sah rakyat Palestin.

Menurut Chen, China mengalu-alukan gencatan senjata Israel-Hamas, dan pihak berkaitan diharap jujur untuk menghentikan keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 3:10 PM