LOGO Daihatsu pada satu sidang media di Tokyo. FOTO fail AFP
LOGO Daihatsu pada satu sidang media di Tokyo. FOTO fail AFP
Agensi

Tokyo: Daihatsu Motor Co, anak syarikat Toyota Motor Corp berkata, ia memanipulasi keputusan ujian keselamatan 88,000 kereta yang dibuat di Thailand dan Malaysia, yang dijual pada tahun lalu, lapor Bloomberg.

Ia akan memberi kesan kepada jenama Toyota, model Yaris Ativ dan Agya, termasuk kereta keluaran Perodua dikeluarkan dengan syarikat usaha sama di Malaysia dan kenderaan dibangunkan Daihatsu.

Kenderaan itu dijual di Thailand, Malaysia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Indonesia dan Mexico, menurut Daihatsu, Jumaat lalu.

Menurut laporan Bloomberg, kereta itu mempunyai komponen pada perapi pintunya yang ketika ujian kemalangan boleh mempengaruhi keputusan ujian, dan ia berbeza berbanding kenderaan yang dijual kepada pengguna, menurut Daihatsu.

Ujian akan dilakukan lagi, dan jualan akan bersambung jika kenderaan itu sudah mempunyai sijil sempurna, kata pengeluar kereta itu.

"Kami meminta maaf kepada pengguna dan pemegang taruh yang kepercayaan dan sokongan mereka sudah kami khianati," kata Presiden Daihatsu, Soichiro Okudaira pada taklimat media pada Jumaat lalu.

Beliau menambah, pihak ketiga akan melakukan siasatan berhubung insiden itu.

Dalam pada itu, New Straits Times melaporkan bahawa model terjejas termasuk Toyota Yaris Ativs buatan Thailand dari Ogos lalu, dan Perodua Axias yang dikeluarkan di Malaysia bermula dari Februari.

Daripada 88,000 lebih kenderaan itu, kira-kira 76,000 adalah model Yaris terutamanya untuk negara Thailand, Mexico dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), kata Daihatsu.

Kira-kira 11,800 kenderaan yang terjejas adalah Perodua Axia yang dikeluarkan oleh Daihatsu di kilang usaha sama yang dikendalikannya dengan pembuat kereta Malaysia, Perodua. Kereta berkenaan dijual di Malaysia.

Daihatsu berkata, ia akan menjalankan ujian keselamatan baharu dengan kehadiran pengawal selia dan mengesahkan keselamatan model sebelum meneruskan penghantaran.

Penemuan ujian keselamatan yang dimanipulasi adalah krisis pertama bagi presiden Toyota, Koji Sato, yang mengambil alih jawatan tertinggi syarikat itu, pada 1 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 11:58 AM