RUANG dalam Perodua Ativa.
RUANG dalam Perodua Ativa.
ATIVA yang bermaksud aktif dalam bahasa Portugis dipilih kerana bersesuaian dengan gaya hidup aktif di bandar.
ATIVA yang bermaksud aktif dalam bahasa Portugis dipilih kerana bersesuaian dengan gaya hidup aktif di bandar.
Oleh Lizam Ridzuan


SEJAK tahun lalu, spekulasi mengenai nama model terbaharu keluaran Perodua menjadi teki-teka dan akhirnya ia diumumkan secara rasmi sebagai Perodua Ativa pada pelancarannya malam tadi.

Nama Ativa yang bermaksud aktif dalam bahasa Portugis itu dipilih kerana bersesuaian dengan gaya hidup aktif di bandar.

Jika pengumuman sebelum ini menyatakan harga tentatifnya adalah RM62,500 hingga RM73,400, ia bagaimanapun secara rasmi dikurangkan kepada RM61,500 hingga RM72,000.

Perodua Ativa ditawarkan dengan tiga varian iaitu X yang dijual pada harga bermula RM61,500 manakala varian H (bermula RM66,100) dan AV (RM71,200).

Ativa adalah kenderaan pengecas turbo pertama Perodua dan model pertama pengeluar itu yang menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT).

Ia juga menjadi model pertama Perodua yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard berkenaan.

Semua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 kilometer per liter (km/l), sekali gus menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, harga SUV kompak yang berpatutan disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95 peratus.

"Kandungan tempatan ini menjadi kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua. Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia," katanya.

Katanya, hingga kini Perodua menerima 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19 Februari lalu.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka. Penghantaran akan bermula esok dan kami menyasarkan untuk menjual 3,000 unit sebulan secara purata," katanya.

Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin menerusi premiere digital yang bermula jam 8 malam tadi.

Zainal Abidin berkata, Perodua Ativa hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

"Perodua Ativa dibina atas platform global kerana Perodua dan Daihatsu berjaya menyatukan sumber yang mampu menghasilkan model paling berdaya saing," katanya.

Beliau berkata, pengenalan Perodua Ativa penting kerana ia membawa kerjasama antara Perodua dan Daihatsu ke tahap baharu, membolehkan pengeluar kereta nasional itu dan pembekalnya berkongsi komponen serta proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.

"Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri dan citarasa Malaysia yang unik. Pembabitan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.

"Kerjasama erat ini membolehkan kami membabitkan ekosistem automotif Malaysia dalam pembangunan model ini dan pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu mengurangkan kos mereka," katanya.

Pengeluar kenderaan itu menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6.5 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan tahun ini.

"Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:10 AM