BERNAMA

Kuala Lumpur: Hampir 6,000 unit Perodua Bezza yang dilancarkan 21 Julai lalu, dalam proses penghantaran manakala tempahan untuk kereta sedan kompak pertama syarikat itu sudah mencecah 19,000 unit.

"Sehingga semalam, 5,000 unit Perodua Bezza berjaya dihantar sejak dilancarkan 21 Julai dan kami berharap dapat menyerahkan 1,000 unit lagi hari ini," kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Dr Aminar Rashid Salleh dalam kenyataan hari ini.

Pecahan jumlah unit yang dihantar itu adalah 42 peratus Perodua Bezza 1.3L Advance, Perodua Bezza 1.3 L Premium X (43 peratus) dan Perodua Bezza 1.0L (15 peratus).

Model sedan kompak "A" ini adalah kereta pertama Perodua dengan bahagian atas badan direka sepenuhnya jurutera Malaysia. Proses reka bentuk Bezza ini bermula pada 2014 dengan sokongan rakan kongsi Perodua, Daihatsu.

Menurut Aminar Rashid, Perodua melabur RM300 juta bagi membangunkan Bezza dan model itu mempunyai 95 peratus kandungan tempatan.

Harga Perodua Bezza bermula dari RM37,300 untuk varian 1.0L Standard G (transmisi manual) hingga RM50,800 bagi varian 1.3L Advance (transmisi automatik) dalam enam warna iaitu Sugar Brown, Ocean Blue, Lava Red, Ebony Black, Glittering Silver dan Solid Ivory White.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 8:27 PM