DR Aminar Rashid (dua dari kanan) bersama Menteri Komunikasi Brunei, Dato Paduka Awang Mustappa Sirat (dua dari kiri), Pengarah Urusan GHK Motors Sdn Bhd, Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh (kiri) dan Pengarah Eksekutif Perodua, Kurinami Takamasa di Pameran Auto Brunei, baru-baru ini.

myMetro

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan eksport sebanyak 310 unit kenderaan Myvi 1.5SE dan Alza 1.5SE ke Brunei pada tahun ini bertujuan meluaskan porfolio eksportnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, eksport itu adalah langkah utama untuk syarikat mengukuhkan kehadiran jenama Perodua di Asean dalam usaha menjadi pemain dalam pasaran kereta serantau pada masa depan.

“Kami percaya wujud permintaan untuk model ini di Brunei memandangkan penerimaan kenderaan kompak dilihat semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perodua mula mengeksport ke Brunei pada 1996 melalui model Perodua Kancil dan mengeksport 2,300 kenderaan ke negara itu sehingga akhir 2015.

Sehingga kini, Perodua mengeksport model kenderaannya ke lima negara iaitu Singapura, Mauritius, Brunei, Sri Lanka dan Fiji, selain mengeksport Myvi ke Indonesia dengan nama Daihatsu Sirion (di bawah jenama Daihatsu).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 6:37 AM