UJIAN dron berkeupayaan nuklear oleh Korea Utara. FOTO KCNA/ KNS / AFP)
UJIAN dron berkeupayaan nuklear oleh Korea Utara. FOTO KCNA/ KNS / AFP)
AFP

Seoul: Korea Utara pada Jumaat berkata, ia menguji satu lagi dron serangan nuklear bawah permukaan air, sebagai tindak balas kepada latihan ketenteraan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS), meskipun penganalisis mempersoalkan sama ada Pyongyang mempunyai senjata seumpama itu.

Sejak beberapa minggu lalu, Korea Utara menguji apa yang dikatakan media negara itu sebagai dron berkeupayaan nukelar, dan juga melancarkan peluru berpandu balistik antara benua.

"Institut kajian sains pertahanan kebangsaan mengadakan ujian sistem senjata strategik antara 4 hingga 7 April," menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

"Dron serangan nuklear bawah permukaan air 'Haeil-2'... meliputi jarak 1,000 kilometer."

Pada 23 Mac, Korea Utara mendakwa ia menguji dron serangan nuklear yang mampu untuk mencetuskan "tsunami radioaktif", ketika ia menyalahkan latihan ketenteraan Korea Selatan yang menjejaskan keselamatan rantau itu.

Imej satelit menunjukkan bahawa terhadap aktiviti tahap tinggi di kompleks nuklear utama di Korea Utara selepas pemimpinnya, Kim Jong Un mengarahkan pengeluaran bahan nuklear bergred senjata dipertingkat.

Tahun lalu, Korea Utara mengisytiharkan sebagai kuasa nuklear, sementara Kim memberitahu tentera negara itu untuk memperhebat latihan sebagai persediaan untuk "perang sebenar".

Korea Selatan dan AS pada Rabu mengadakan latihan ketenteraan bersama membabitkan sekurang-kurangnya satu pengebom strategik B-52H milik AS yang berkeupayaan nuklear, menurut kenyataan Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 9:36 AM