KOREA Utara pertimbang penggunaan senjata nuklear yang lebih besar.
KOREA Utara pertimbang penggunaan senjata nuklear yang lebih besar.
Reuters

Seoul: Ujian peluru berpandu Korea Utara, baru-baru ini meningkatkan jangkaan negara itu mungkin akan menguji keupayaan nuklear miliknya sejak kali pertama selepas 2017.

Korea Utara selesai menguji semua peralatan teknikal bagi ujian baharu dalam terowong bawah tanah di tapak Ujian Nuklear Punggye-ri yang ditutup sejak 2018.

Tindakan terbaharu itu menimbulkan persoalan jangkaan senjata nuklear akan diledakkan yang kini bergantung kepada Kim Jong Un, kata pegawai Korea Selatan.

Ini antara punca pegawai dan penganalisis asing menganggap kemungkinan Korea Utara akan menyambung semula ujian mengikut jenis peranti yang boleh diletupkan dan melihat apa tindak balas antarabangsa.

BILA KOREA UTARA AKAN MENGUJINYA?

Persoalan itu kini hanya boleh dijawab Korea Utara. Namun, pemerhati berkata, Jong Un dan orang di sekelilingnya yang akan mengetahui waktu tepat ujian itu akan dijalankan.

Korea Utara dianggap sebagai sasaran yang amat sukar bagi Amerika Syarikat (AS) dan negara asing lain.

Ini termasuk ujiannya terhadap bom hidrogen dan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada 2017 yang mampu menyerang sehingga AS.

"Kami mempunyai idea mengenai keupayaan Korea Utara yang boleh dikesan menerusi satelit atau risikan teknikal lain.

"Namun apa yang mungkin terlintas dalam fikiran Jong Un itu kami tidak benar-benar tahu," kata seorang pegawai tentera Barat di Seoul.

Imej satelit menunjukkan Korea Utara berusaha memulihkan beberapa terowong tahun ini yang ditutup pada 2018.

Ia selepas Pyongyang mengisytiharkan moratorium terhadap ujian senjata nuklear, namun Jong Un tidak lagi terikat dengan keputusan rundingan denuclearisation (penghapusan senjata nuklear) yang dihentikan sejak 2019.

Tempoh ujian itu mungkin berlaku ketika kongres Parti Komunis China yang bermula pada 16 Oktober atau pada pilihan raya separuh penggal di Amerika Syarikat pada 7 November depan, kata Ahli Parlimen Korea Selatan selepas diberi taklimat oleh agensi perisiknya bulan lalu.

Pertimbangan lain yang boleh menjadi pertimbangan Jong Un adalah situasi Covid-19 di negara itu, perang di Ukraine, cuti tempatan dan isyarat daripada rakan kongsi di China dan Rusia, kata penganalisis.

MENGAPA DAN APA YANG AKAN DIUJI?

Jika Korea Utara meneruskan ujian nuklear, ia mungkin membabitkan pembangunan kepala peledak yang lebih kecil untuk kegunaan medan perang namun bukan untuk menyerang bandar.

Senjata itu direka untuk dimuatkan pada peluru berpandu jarak dekat seperti yang diuji baru-baru ini, kata penganalisis.

Ujian peluru berpandu terbaharu membabitkan unit yang mengendalikan senjata nuklear taktikal, menurut media Korea Utara.

Peranti yang lebih kecil juga boleh membolehkan beberapa kepala peledak pada satu ICBM dan mampu melakukan menyerang beberapa sasaran sekali gus selain dan mengelirukan pertahanan peluru berpandu lawan.

Korea Utara juga berkata, negara itu mahu menggunakan senjata nuklear yang lebih besar, dan penganalisis beranggapan negara itu kini mungkin sedang membangunkannya.

KOREA Utara pertimbang penggunaan senjata nuklear yang lebih besar.
KOREA Utara pertimbang penggunaan senjata nuklear yang lebih besar.

"Mereka hanya menjalankan ujian nuklear dalam jumlah yang agak terhad.

"Pembangun senjata yang ingin menjalankan ujian tidak mampu menandingi keupayaan mereka yang yakin senjata ini pasti berfungsi," kata Vann Van Diepen, bekas pakar Korea dengan kerajaan AS dan kini bekerja dengan projek 38 North.

Kim juga berusaha untuk 'menghalalkan' program senjatanya dan mungkin menggunakan ujian itu sebagai meningkatkan tekanan ke atas Washington, kata pegawai tentera Barat itu.

APA REAKSI YANG AKAN TERCETUS?

AS dan sekutunya di Asia berikrar penyambungan semula ujian nuklear 'akan dipenuhi dengan tindak balas penuh' tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.

Ujian peluru berpandu dipenuhi dengan sekatan unilateral dan paparan kekuatan tentera termasuk latihan bersama dan penempatan kapal pengangkut pesawat AS.

Ujian nuklear Korea Utara sebelum ini juga menyebabkan resolusi bantahan dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengenakan sekatan dan disokong China dan Rusia.

Penganalisis berkata, Beijing dan Moscow berkemungkinan tidak menyambut baik ujian itu, tetapi mereka tidak mungkin menyokong sebarang 'hukuman' baharu, jika ia tetap dijalankan.

"Mereka mungkin tidak berminat dengannya. Tetapi saya fikir itu bukan isu untuk mereka sekarang berbanding lima atau 10 tahun lalu kerana hubungan dengan AS," kata Van Diepen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 8:00 AM