FOTO fail menunjukkan antara peluru berpandu balistik Korea Utara yang dipamerkan di Muzium Peringatan Perang Korea di Seoul. FOTO EPA
FOTO fail menunjukkan antara peluru berpandu balistik Korea Utara yang dipamerkan di Muzium Peringatan Perang Korea di Seoul. FOTO EPA
AFP

Seoul: Korea Utara menembak peluru berpandu di laut pada awal Khamis, menurut tentera Korea Selatan, dan ia mungkin ujian peluru berpandu balistik pertama sejak pentadbiran Presiden baharu Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.

Ketua turus Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, 'peluru berpandu yang tidak dikenal pasti' itu dilancarkan ke Laut Jepun, atau dikenali sebagai Laut Timur di Korea.

Tiada butiran lanjut mengenainya, termasuk berapa peluru berpandu yang dilancarkan.

Korea Utara yang mempunyai kemudahan senjata nuklear dilarang daripada membangunkan peluru berpandu balistik di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Bagaimanapun, negara itu menunjukkan perkembangan keupayaan persenjataannya di bawah pimpinan Kim Jong Un, dengan menguji peluru berpandu yang dikatakan mampu sampai ke kawasan di Amerika Syarikat (AS), ketika hubungan kedua negara bergolak pada 2017.

Ia juga mempunyai sejarah panjang yang gemar menggunakan ujian senjata sebagai tindakan provokasi.

Perkembangan terbaharu itu selepas Pyongyang menguji dua peluru berpandu bukan balistik ke arah Barat menghadap China pada hujung minggu lalu.

Ia susulan latihan ketenteraan antara Korea Selatan dengan AS, dan lawatan ke rantau ini oleh Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin untuk membincangkan isu kerjasama dan keselamatan.

Presiden Joe Biden sebelum ini berhasrat untuk menyambung rundingan AS dan Korea Utara berhubung senjata nuklear, yang tergendala sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 8:37 AM