USS Michigan tiba di pelabuhan di Busan. FOTO YONHAP/ AFP
USS Michigan tiba di pelabuhan di Busan. FOTO YONHAP/ AFP
AFP

Seoul: Sebuah kapal selam berkuasa nuklear milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tiba di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan, hari ini.

Komander Tentera Korea Selatan, Kim Myung-soo berkata, penghantaran aset itu menunjukkan ikrar Washington untuk menentang ancaman Pyongyang yang semakin meningkat.

Katanya, kapal selam dilengkapi peluru berpandu, USS Michigan itu, tiba di Busan, buat kali pertama dalam tempoh enam tahun selaras dengan Deklarasi Washington yang ditandatangani kedua-dua pemimpin pada April lalu.

"Deklarasi itu menyatakan komitmen Washington untuk melanjutkan pencegahan ke Korea Selatan disokong rangkaian keupayaan penuh AS termasuk nuklear, untuk mengatasi ancaman Pyongyang yang semakin meningkat.

"Ketibaan kapal selam itu bertujuan melaksanakan Deklarasi Washington secara substantif untuk meningkatkan kewujudan tetap aset strategik AS di Semenanjung Korea," katanya.

Sementara itu, Ketua Turus Bersama (JCS) dalam satu kenyataan berkata, Seoul dan Washington merancang menguatkan keupayaan perang dan saling kendali untuk bertindak balas terhadap ancaman Korea Utara yang semakin meningkat, melalui latihan bersama.

Katanya, kapal selam seberat 18,000 tan itu memiliki panjang kira-kira 170 meter serta dilengkapi dengan 150 peluru berpandu Tomahawk yang boleh mencapai jarak 2,500 kilometer.

Korea Utara, tahun ini, menguji peluru berpandu balistik antara benua yang paling berkuasa sebelum cuba meletakkan satelit pengintip tentera ke orbit, bulan lalu.

Khamis lalu, Pyongyang melepaskan dua peluru berpandu balistik sebagai tindak balas yang jelas terhadap latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan.

Korea Utara menganggap semua latihan itu sebagai latihan untuk pencerobohan dan menyifatkannya sebagai 'latihan mengejut' serta seolah-olah menunjukkan perang habis-habisan terhadap Pyongyang.

Hubungan tegang antara kedua-dua Korea berada pada satu titik paling rendah selepas pelbagai usaha diplomasi, gagal.

Malah, hubungan itu tidak dapat dipulihkan selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengisytiharkan negaranya sebagai negara nuklear dan menyeru peningkatan pembangunan senjata termasuk nuklear taktikal.

Sebagai tindak balas, Seoul dan Washington berikrar, Pyongyang akan menghadapi tindak balas, jika menggunakan senjata nuklearnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 12:50 PM