KIM Jong Un. FOTO AFP
KIM Jong Un. FOTO AFP
AFP

Seoul: Korea Utara menembak 'peluru berpandu balistik' hari ini, iaitu beberapa hari selepas lima dron Pyongyang terbang merentasi sempadan dan ruang udara Korea Selatan, kata Tentera Seoul.

Ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea meningkat tahun ini apabila Korea Utara melakukan ujian senjata yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, termasuk pelancaran peluru berpandu balistik, bulan lalu.

"Korea Utara menembak peluru berpandu balistik yang tidak dikenal pasti ke (Laut Timur)," kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan.

Pada Isnin lalu, dron didakwa menceroboh terbang dekat ibu kota Seoul iaitu kali pertama dalam tempoh lima tahun sehingga mendorong tentera Korea Selatan mengerahkan jet pejuang dan helikopter.

Namun di sebalik operasi selama lima jam, tentera gagal menembak jatuh dron sehingga mencetuskan kritikan dan permohonan maaf daripada Menteri Pertahanan negara itu.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol menyifatkan kejadian itu tidak boleh diterima dan berkata, pihaknya akan memastikan Pyongyang sedar bahawa provokasi boleh berdepan tindakan lebih keras.

Pegawai Tinggi Negara itu mendakwa Tentera Seoul turut mengadakan latihan pada Khamis untuk meningkatkan pertahanan terhadap sebarang provokasi dron pada masa hadapan.

Awal tahun ini, Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata, beliau mahu negaranya mempunyai kuasa nuklear terbesar di dunia, dan mengisytiharkan Korea Utara sebagai negara nuklear.

Korea Utara kini sedang mengadakan mesyuarat di Pyongyang yang mana Kim dan pemimpin parti lain menggariskan Dasar 2023 dalam bidang utama termasuk diplomasi, keselamatan serta ekonomi.

Media tempatan pada Rabu melaporkan Kim menetapkan matlamat utama baharu untuk tentera negara itu, namun tiada maklumat lanjut.

\

Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memberi amaran bahawa Pyongyang sedang bersedia menjalankan ujian nuklear ketujuhnya.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan kepada Korea Utara terhadap tindakan melancarkan nuklear dan peluru berpandunya sejak 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 10:28 AM