Bendera Jepun dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan terhadap Shinzo Abe. - FOTO EPA
Bendera Jepun dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan terhadap Shinzo Abe. - FOTO EPA
BERNAMA

Tokyo: Berhubung kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, ketua jabatan polis am Jepun, Itaru Nakamura mengakui pada Rabu bahawa tugas melindungi seorang ahli politik berpangkat tinggi belum selesai, lapor Sputnik.

"Kami amat bimbang atas kejadian tembak yang berlaku kepada bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.

"Ia menunjukkan polis tidak melaksanakan tugas mereka dalam menyediakan keselamatan. Sebagai seorang anggota polis, saya kesal.

"Berdasarkan apa yang berlaku, kami faham bahawa apa yang terjadi bukan hanya membabitkan polis yang bertugas di lokasi kejadian, malah menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua jabatan polis, yang sepatutnya menguruskan semua polis di wilayah itu," kata Nakamura.

Pada masa sama, Nakamura menyatakan hasratnya untuk meneruskan tugasnya, supaya "kejadian seumpama itu tidak akan berlaku lagi."

Abe telah diserang pada pagi Jumaat di bandar Nara di Jepun semasa ucapan kempennya.

Tetsuya Yamagami, 41, menghampiri ahli politik itu dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter.

Polis berkata Abe masih sedar selepas cedera, tetapi kemudian, semasa dibawa ke hospital, keadaannya menjadi kritikal "dengan serangan jantung dan paru-paru."

Pada hari sama, Hospital Universiti Perubatan Nara mengesahkan dia meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 4:06 PM