Tetsuya Yamagami ketika dibawa ke pejabat pendakwa raya di Nara. FOTO Reuters.
Tetsuya Yamagami ketika dibawa ke pejabat pendakwa raya di Nara. FOTO Reuters.
Agensi

Nara: Selain senjata buatan sendiri, lelaki yang disyaki membunuh bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe turut dilapor cuba membuat bom.

Sumber penyiasat dilapor Japan Times hari ini berkata, Tetsuya Yamagami, 41, menghasilkan "pelbagai senjata".

Pihak berkuasa sudah menggeledah rumah suspek di Nara dan merampas senapang sama dengan senjata buatan sendiri yang ditemui di tempat kejadian Abe ditembak pada Jumaat ketika berucap sempena kempen pilihan raya di bandar barat itu.

Hari ini, Yamagami dibawa ke pejabat Pendakwa Raya untuk pertuduhan membunuh, manakala motif pembunuhan pula kerana dendam disebabkan ibunya membuat 'derma besar' terhadap pertubuhan agama yang didakwa menyebabkan keluarga mereka porak peranda.

Yamagami dikatakan menyimpan dendam terhadap kumpulan itu yang dipercayainya berkaitan Abe, kata sumber.

Sumber lain memetik Yamagami sebagai berkata, "awalnya, saya berniat untuk menyerang eksekutif kumpulan itu" tetapi sebaliknya memutuskan untuk menyasarkan Abe.

Walaupun motif penyerang itu belum diketahui sepenuhnya, ramai yang mengecam tembakan itu sebagai merobek asas demokrasi dan mendedahkan kepincangan dalam keselamatan orang kenamaan.

Pada sidang akhbar, Ketua Polis Wilayah Nara Tomoaki Onizuka memohon maaf kerana gagal menghalang serangan itu dan memberi isyarat bahawa terdapat masalah dengan butiran keselamatan Abe.

"Tidak dinafikan bahawa terdapat masalah dalam keselamatan (Abe)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 3:36 PM