AFP

Tokyo: Ahli keluarga dan rakan berkumpul di Kuil Zojoji di sini untuk acara penghormatan terakhir terhadap bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe, yang diadakan secara tertutup.

Abe, 67, meninggal dunia di hospital pada Jumaat lalu, selepas ditembak dari jarak dekat ketika menyampaikan ucapannya pada satu program kempen pilihan raya di bandar Nara.

Suspek yang membunuh Abe, Tetsuya Yamagami, 41, kini ditahan dan memberitahu polis bahawa dia menyasarkan pemimpin itu kerana percaya ahli politik berkenaan dikaitkan dengan sebuah pertubuhan.

Meskipun upacara hanya untuk ahli keluarga dan rakan terdekat, orang ramai dilihat beratur panjang di luar kawasan kuil itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Abe.

Dalam perkembangan lain, polis tempatan mengakui kesilapan dalam kawalan program untuk ahli politik berprofil tinggi itu.

Selepas kejadian, polis menggeledah rumah suspek sebelum menemui komponen yang digunakan untuk membuat senjata api yang digunakan dalam serangan berkenaan, lapor media Jepun, memetik sumber penyiasatan yang tidak dinamakan.

Yamagami yang pernah berkhidmat selama tiga tahun dalam tentera laut dilaporkan memberitahu penyiasat bahawa tindakan ibunya yang menderma sejumlah wang besar kepada sebuah pertubuhan keagamaan menyebabkan keluarganya berdepan masalah kewangan.

Gereja Penyatuan, gerakan agama global yang diasaskan di Korea pada 1950-an pada isnin mengesahkan ibu Yamagami adalah ahlinya, tetapi tidak mengulas mengenai dakwaan derma itu.

Pembunuhan Abe mengejutkan dunia dan Kerajaan Jepun sudah menerima lebih 1,700 ucapan takziah daripada 259 negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa.

Selepas upacara pada Selasa, jasad Abe akan dibawa dengan kenderaan yang akan melalui beberapa mercu tanda utama politik di Tokyo.

Ia termasuk kediaman rasmi Perdana Menteri yang dikenali sebagai Kantei dan Parlimen.

Upacara memperingati untuk orang awam dijangka diadakan pada satu tarikh ditetapkan kemudian, namun tiada butiran terperinci mengenainya diberikan.

Ia dijangka turut dihadiri pemimpin luar negara.

Abe berasal dari keluarga yang terbabit politik menjadi perdana menteri termuda Jepun selepas era perang, apabila dilantik ke jawatan itu pada 2006, pada usia 52 tahun.

Beliau meletak jawatan pada 2020, pada akhir penggal keduanya, kerana masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 3:58 PM