AFP

Kashihara: Seluruh Jepun meratapi pemergian bekas perdana menteri Shinzo Abe, yang mayatnya dipindahkan ke Tokyo, hari ini dari bandar beliau ditembak.

Abe sedang berucap sempena pilihan raya yang bakal berlangsung apabila ditembak berhampiran sebuah stesen kereta api di Nara, semalam.

Kereta jenazah membawa mayat Abe dan turut disertai isteri mendiang, Akie kelihatan meninggalkan hospital Kashihara, barat Jepun sebelum 6.00 pagi (2100 GMT).

PEKERJA menghantar bunga di kediaman Shinzo Abe untuk persiapan pengebumian di Tokyo. FOTO AFP.
PEKERJA menghantar bunga di kediaman Shinzo Abe untuk persiapan pengebumian di Tokyo. FOTO AFP.

Doktor di Hospital Universiti Perubatan Nara semalam berkata Abe tidak menunjukkan tanda masih hidup (no vital sign) ketika tiba di hospital dan meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah walaupun melalui pemindahan darah besar-besaran.

Mereka menggambarkan pelbagai luka di leher bekas perdana menteri itu dengan kecederaannya jauh ke dalam, hingga jantung.

Pembunuhan Abe mengejutkan Jepun, malah Perdana Menteri Fumio Kishida menggambarkan ia satu 'tindakan keji' dan 'tidak boleh dimaafkan'.

Kempen pilihan raya Jepun bersambung hari ini dengan ahli politik bertekad menunjukkan pembunuhan itu tidak boleh menghentikan demokrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 11:49 AM