ADERRIEN Murry yang cedera selepas terkena tembakan dilepaskan polis di Mississippi, AS. FOTO Agensi
ADERRIEN Murry yang cedera selepas terkena tembakan dilepaskan polis di Mississippi, AS. FOTO Agensi
AFP

Washington: Seorang pegawai polis di selatan Amerika Syarikat (AS) digantung tugas selepas menembak seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Kejadian itu berlaku ketika pegawai dari di Mississippi itu datang mengendalikan kes gangguan rumah tangga di rumah keluarga kanak-kanak terbabit.

Biro Siasatan Mississippi mengesahkan, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan mengumpul bukti.

"Selepas melengkapkan siasatan, ejen akan berkongsi penemuan mereka dengan Pejabat Peguam Negara," katanya kepada AFP .

Peguam keluarga mangsa, Carlos Moore berkata, pegawai polis, Greg Capers digantung sementara menunggu siasatan lengkap.

Ibu kanak-kanak itu, Nakala Murry memberitahu CNN, Aderrien Murry yang berkulit hitam ditembak sekali pada bahagian dada hingga mencederakan paru-parunya serta tulang rusuk patah.

Katanya, anaknya baru saja keluar dari hospital, sebelum ditembak seorang pegawai polis Afrika-Amerika, yang menjawab panggilan keganasan rumah tangga daripada keluarganya, pada Sabtu.

"Saya meminta Aderrien menghubungi polis selepas bapa kepada seorang lagi anak saya datang ke rumah kami pada jam 4 pagi dalam keadaan berang.

"Kemudian, seorang pegawai polis tiba dengan pistolnya sebelum meminta kami yang berada di dalam rumah supaya keluar," katanya.

Katanya, anak lelakinya itu ditembak ketika memasuki ruang tamu dengan tangan terangkat.

"Sebaik saja dia datang dari sudut, dia ditembak.

"Saya pun tak faham kenapa.

"Malah, anak saya sempat bertanya mengapa tembak dia dan apa salah dia?" katanya.

Indianola ialah bandar yang kebanyakannya dihuni penduduk Afrika-Amerika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 10:47 AM