PENULIS bersama Mark Van Acht dan isterinya  serta rakan wartawan bergambar selepas makan malam dan menikmati teh Cina di St Louis.
PENULIS bersama Mark Van Acht dan isterinya serta rakan wartawan bergambar selepas makan malam dan menikmati teh Cina di St Louis.
Oleh Yusri Abdul Malek

St Louis: Menikmati hidangan teh yang disediakan secara tradisional mengikut budaya masyarakat Cina ketika berkunjung ke sebuah rumah warga tempatan di bandar ini membuktikan masyarakat Cina terus mengekalkan tradisi tempatan sekali pun berada ribuan kilometer dari negara asal.

Bagi Mark van Acht yang berasal dari Belgium, dia mengahwini isterinya Hongxia Wang yang berasal dari Beijing, beberapa tahun lalu dan sejak itu mula jatuh hati kepada teh Cina dan membawa budaya itu pulang bersama ke Amerika Syarikat.

Malah, di rumah mereka di tingkat tiga disediakan ruang khas untuk bilik teh.

Kunjungan saya dan tiga rakan wartawan dari Liberia, Arab Saudi dan Bangladesh disambut mesra pasangan berkenaan sebelum dijamu dengan masakan sayur-sayuran.

Mark yang bekerja sebagai konsultan sempat berseloroh bahawa makanan disediakan isterinya adalah halal.

Beliau yang berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1991 sudah banyak menjelajah ke seluruh dunia dan pernah ke Indonesia untuk satu projek pertanian di Jawa Barat beberapa tahun lalu.

Beliau cukup kagum dengan keharmonian masyarakat pelbagai agama yang tinggal di negara itu.

Baginya, budaya itu harus dikekalkan sejak kanak-kanak lagi.

Dalam rancak berbual, Mark yang meminati sejarah turut mengulas mengenai kesilapan penjajahan kolonial sejak puluhan tahun lalu yang dianggap mencetuskan kekacauan di setiap negara dan kesannya kekal di sesebuah negara hingga kini.

Selepas berbual dan makan malam serta minum teh hampir tiga jam, kami beredar untuk pulang ke hotel sebelum bersiap untuk mengunjungi sebuah syarikat penerbitan akhbar khas untuk masyarakat Afrika-Amerika.

Di negara ini, tiada istilah perkauman kerana masing-masing atau warganegara memiliki hak untuk bersuara dan ia dijamin dalam perlembagaan.

Sama ada mereka suka atau tidak sesuatu hak kaum itu diperjuangkan, ia terpulang kepada individu itu.

Menurut penerbit akhbar berkenaan, mereka berbuat demikian supaya ada juga berita positif mengenai komuniti mereka.

Sebelum ini, dalam laporan apa jua media dipelopori konglomerat berkulit putih, masyarakat Afrika-Amerika ini dianggap paling banyak terbabit dalam pelbagai masalah sosial dan jenayah.

“Kami hanya memaparkan berita tempatan mengenai komuniti kulit hitam,” katanya.

Malah, kejadian remaja iaitu Michael Brown ditembak mati seorang anggota polis di bandar ini pada 2014 hingga menjadi rusuhan di beberapa bandar besar di negara ini mengubah senario mengenai perbezaan warna kulit.

“Minoriti kini semakin banyak diberi peluang untuk bekerja dalam bidang pengurusan, namun ia masih jauh lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:37 AM