KEMATIAN Eric terbela. FOTO/AGENSI
KEMATIAN Eric terbela. FOTO/AGENSI
AFP

NEW YORK: Seorang pegawai polis New York digantung tugas semalam selepas seorang hakim mengesyorkan agar dia dipecat kerana menyebabkan kematian seorang lelaki kulit hitam lima tahun lalu.

Kes meruncing itu membangkitkan protes seluruh negara dengan ‘Black Lives Matter’ yang menyeru supaya polis bertanggungjawab di atas kematian orang Afrika-Amerika yang tidak bersenjata dalam tahanan atau ketika penangkapannya.

Timbalan Pesuruhjaya NYPD dan jabatan pentadbiran hakim Rosemarie Maldonado menyelidiki proses disiplin untuk pegawai Daniel Pantaleo, yang dituduh menyumbang kepada kematian Eric Garner, 43, semasa tangkapannya.

Pada 17 Julai 2014, empat pegawai cuba menangkap Garner kerana disyaki menjual rokok haram di tepi laluan pejalan kaki di Staten Island.

Video yang dirakam orang awam menunjukkan Pantaleo meletakkan lengannya rapat di leher Garner dan menarik suspek yang lebih besar ke laluan pejalan kaki sebelum melepaskannya.

Pegawai lain pula menekan kepala Garner ke atas laluan pejalan kaki.

Garner, yang menentang tangkapan itu tetapi tidak bersenjata, 11 kali mengadu bahawa dia tidak dapat bernafas.

Dia kelihatan hilang kesedaran, dan bapa kepada enam anak itu dibawa ke sebuah hospital di mana dia disahkan mati. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 11:51 AM