RAKAMAN video penyiar KTRK menunjukkan polis berada di lokasi kejadian.
RAKAMAN video penyiar KTRK menunjukkan polis berada di lokasi kejadian.
AFP

Washington: Polis memburu lelaki dipercayai menembak mati lima individu Honduras termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah rumah di Texas, kata syerif tempatan pada Sabtu.

Penyiasat percaya bahawa suspek melepaskan tembakan menggunakan senapang AR-15 di laman bersebelahan apabila jiran memintanya supaya berhenti melakukan perbuatan itu kerana bayi mereka mahu tidur, lapor media Amerika Syarikat.

Syerif Kaunti San Jacinto, Greg Capers menggambarkan situasi kejam itu apabila pihak berkuasa pergi ke rumah berkenaan selepas menerima panggilan mengenai 'gangguan' pada 11.30 malam, Jumaat lalu.

Mangsa, berusia antara lapan dan 40 tahun, ditembak dari pintu depan sehingga ke bilik tidur, di mana dua daripadanya iaitu wanita ditemukan terbaring di atas dua kanak-kanak yang terselamat dalam pembunuhan berkenaan.

"Pada pendapat saya, mereka berusaha untuk memastikan dua bayi itu selamat," kata Capers kepada KTRK, stesen penyiaran ABC di Houston.

Semua mangsa ditembak "dari leher seperti hukuman bunuh, secara dasarnya di kepala," katanya.

"Lelaki terbabit sebelum itu minum arak dan berkata, 'Saya lakukan semua yang saya mahukan di laman rumah saya'," Capers memberitahu KTRK.

"Semua mangsa berasal dari Honduras," tambah Capers, sambil menambah ada 10 orang di dalam rumah itu pada masa kejadian.

Dia berkata, pihak berkuasa percaya bahawa penembak itu dipercayai adalah dari Mexico.

Dalam pada itu, pejabat syerif menerusi laman Facebooknya berkata, suspek dipercayai sudah meninggalkan AS.

Dalam pada itu, penduduk diminta berada di dalam rumah sehingga lelaki itu ditahan, lapor KTRK.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 10:23 AM