LEONARD Glenn Francis. FOTO fail AP
LEONARD Glenn Francis. FOTO fail AP
AP

San Diego: Kontraktor pertahanan Malaysia dikenali sebagai 'Fat Leonard' yang ditahan kerana mendalangi skandal rasuah membabitkan puluhan pegawai tentera laut Amerika Syarikat (AS), memohon suaka daripada Venezuela.

Perkara itu disahkan seorang pegawai penguat kuasa perundangan semalam, selepas seminggu Leonard Glenn Francis ditahan di negara Amerika Selatan itu.

Pegawai itu, yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media mengenai prosiding tertutup itu, tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai langkah ahli perniagaan Malaysia itu.

Mengikut undang-undang, kerajaan Venezuela perlu mempertimbangkan permohonan suaka.

Venezuela dan AS mempunyai perjanjian ekstradisi, walaupun pentadbiran Joe Biden tidak mengiktiraf kerajaan sosialis Presiden Nicolas Maduro secara rasmi selain tidak mempunyai kedutaan AS di Venezuela dan mengenakan sekatan ke atas negara itu yang memburukkan lagi hubungan.

Pihak berkuasa AS mempunyai 30 hari untuk secara rasmi meminta ekstradisinya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kehakiman menerusi kiriman e-mel berkata, agensi itu tidak mengulas mengenai perkara berkaitan ekstradisi, manakala pejabat peguam AS enggan mengulas apabila ditanya mengenai permintaan suaka Francis di Venezuela.

Francis memiliki syarikat Glenn Defense Marine Asia Ltd (GDMA) berpangkalan di Singapura, yang membekalkan makanan, air dan bahan api kepada kapal selama, beberapa dekad.

Dia mengakui mengenakan bil berlebihan kepada Tentera Laut AS sebanyak AS$35 juta (RM161.29 juta) dengan bantuan puluhan pegawai tentera laut AS yang didakwanya dengan terbabit dengan pelacuran, daging lembu Kobe, rokok dan rasuah lain supaya mereka akan mengarahkan kapal mereka ke pelabuhan yang dikawal Francis di Pasifik, Asia Tenggara.

Francis mengaku bersalah pada 2015 dan berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun.

Sementara menunggu hukuman, dia dikurung di rumah di San Diego untuk menerima rawatan perubatan kerana dia bekerjasama dengan pihak pendakwaan yang membawa kepada sabitan 33 daripada 34 defendan.

Pegawai AS dan Venezuela berkata, Francis memotong gelang pemantauan lokasi pada buku lalinya, melarikan diri ke Mexico dan ke Cuba pada 4 September lalu, sebelum muncul di Venezuela.

Dia ditahan di Venezuela Selasa lalu sebelum menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di luar Caracas.

Pegawai Venezuela berkata, Francis berhasrat menuju ke Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 10:34 AM