'Leonard Gemuk' kini sedang diburu pihak berkuasa AS. FOTO Agensi
'Leonard Gemuk' kini sedang diburu pihak berkuasa AS. FOTO Agensi
AP

Washington: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$40,000 (RM179,914) untuk maklumat yang boleh membawa kepada penahanan kontraktor pertahanan Malaysia yang digelar 'Leonard Gemuk'.

Leonard Gemuk atau nama sebenarnya Leonard Glenn Francis, melarikan diri beberapa minggu sebelum dijatuhkan hukuman berkait kes skandal rasuah terbesar dalam dalam sejarah tentera AS.

Lelaki itu melarikan diri kira-kira 7.35 pagi (waktu tempatan), pada 4 September lalu selepas memotong alat pengawasan GPS yang dipasang pada buku lalinya ketika berada di sebuah rumah di San Diego, lokasi dia ditahan, menurut Perkhidmatan Marshals AS.

Jiran dilaporkan pernah melihat terdapat trak datang dan pergi dari rumah berkenaan beberapa hari sebelum dia dilaporkan hilang.

Francis dibenarkan tinggal di rumah terbabit untuk menerima rawatan perubatan sementara dia bekerjasama dengan pihak pendakwaan.

Dengan bantuannya, pendakwa raya memperoleh sabitan ke atas 33 daripada 34 defendan, termasuk lebih dua dozen pegawai tentera laut.

Francis mengaku bersalah pada 2015 kerana menawarkan perkhidmatan pelacuran, hotel mewah, cerut, hidangan gourmet dan rasuah lebih AS$500,000 kepada pegawai tentera laut dan lain-lain untuk membantu syarikat servis kapalnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia Ltd (GDMA).

Pendakwa raya berkata, syarikat itu mengenakan caj berlebihan kepada tentera laut sekurang-kurangnya AS$35 juta untuk menyelenggara kapal, kebanyakannya dihantar ke pelabuhan yang dikuasainya di Pasifik.

Sepuluh agensi AS kini sedang mencari Francis.

Pihak berkuasa AS juga mengeluarkan notis merah, yang meminta penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk menangkap sementara seseorang yang mempunyai kemungkinan ekstradisi.

Malaysia dan Singapura kedua-duanya mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 1:53 PM