LEONARD Francis. FOTO Agensi
LEONARD Francis. FOTO Agensi
AFP

Washington: Seorang kontraktor tentera yang sebelum ini mengaku bersalah dalam kes rasuah terburuk membabitkan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), melarikan diri dari tahanan rumah di San Diego, kata pihak berkuasa AS pada Isnin.

"Leonard Francis memotong gelang pemantauan di kakinya pada pagi Ahad," kata Timbalan Penyelia Marsyal AS, Omar Castillo kepada AFP menerusi satu kenyataan.

Dikenali sebagai Fat Leonard (Leonard Gemuk), lelaki itu dijangka akan mengetahui hukumannya dalam masa tiga minggu, menurut media AS.

Francis, warga Malaysia yang mengendalikan syarikat kontrak ketenteraan, mengaku bersalah pada 2015 atas tuduhan menawarkan sogokan AS$500,000 (kira kira RM2.24 juta).

Ia untuk menarik kerja-kerja ke limbungan, membuat kerja-kerja pada kapal AS yang mana pendakwa raya berkata, dia mengenakan caj yang berlebihan untuk Tentera laut AS dengan membabitkan sehingga AS$35 juta (kira-kira RM157 juta).

Polis dihantar ke kediaman di San Diego pada Ahad selepas agensi yang memantau gelang kaki menyedari ada masalah dengan peranti, kata Castillo.

"Sebak tiba, mereka menyedari tiada sesiapa di rumah," katanya.

Pihak berkenaan kemudian memaklumkan insiden itu kepada Marsyal AS yang kemudian ke lokasi dan mengesahkan bahawa Francis tiada di premis berkenaan.

Francis ditahan pada 2013 dan mengaku salah, dua tahun kemudian.

Dia mempunyai banyak masalah kesihatan termasuk kanser buah pinggang yang menyebabkan lelaki itu menjalani tahanan rumah pada 2018.

Ketika itu, dia berperanan untuk membantu kerajaan AS sebagai saksi persekutuan.

Prosiding jatuh hukum terhadap Francis dijadualkan pada 22 September ini.

Setakat ini, empat pegawai didapati bersalah dalam kes itu, manakala 29 individu lain, termasuk pegawai tentera laut, kontraktor dan Francis sendiri sudah membuat pengakuan salah, lapor media AS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 1:46 PM