San Diego: Seorang ahli perniagaan Malaysia yang dituduh merasuah pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat untuk membolehkan syarikatnya memperoleh kontrak perkhidmatan berjumlah jutaan dolar, semalam mengaku bersalah di mahkamah persekutuan di sini.

Leonard Glenn Francis yang sebelum ini berkata dia tidak bersalah, mengaku bersalah terhadap tuduhan merasuah dan bersekongkol untuk melakukan rasuah dalam kes mengejutkan pihak berkuasa Amerika Syarikat apabila siasatan itu didedahkan.

Dia berdepan dengan hukuman penjara 25 tahun.

Sebagai persetujuan untuk mengaku bersalah Francis dan syarikatnya, Glenn Defense Marine Asia, akan kehilangan AS$35 million (RM125 juta) dalam hartanah dan hasil lain yang berpunca daripada skandal rasuah itu. Selain mengaku kesalahan sendiri, dia turut mengaku bagi pihak firmanya itu.

Menurut dakwaan itu, Francis merasuah pegawai tentera laut dengan wang tunai, khidmat pelacur, elektronik canggih, penginapan hotel mewah dan hiburan supaya pegawai itu berkongsi maklumat sulit.

Menerusi kegiatan rasuah itu, Francis, 50, didakwa menerima maklumat mengenai pergerakan dan jadual penyelenggaraan kapal tentera laut Amerika Syarikat .

Menurut pendakwa raya, sebelum kegiatannya disiasat oleh Tentera Laut, Francis didakwa menerima maklumat mengenai pergerakan kapal dan jadual.

Pembantu Pendakwa Raya Amerika Syarikat, Mark Pletcher berkata, siasatan masih berjalan dan meliputi tempoh 10 tahun bermula 2004. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:01 AM