MARIA de los Angeles Duarte. FOTO AFP
MARIA de los Angeles Duarte. FOTO AFP
AFP

Quito: Seorang bekas menteri kabinet Ecuador yang disabitkan dengan kes rasuah, melarikan diri ke Venezuela selepas menghabiskan lebih dua tahun bersembunyi di Kedutaan Argentina di sini.

Maria de los Angeles Duarte yang berkhidmat di bawah bekas presiden Rafael Correa dijatuhi hukuman lapan tahun kerana rasuah tetapi tinggal di Kedutaan Argentina sejak Ogos 2020.

Correa berkhidmat dari 2007 hingga 2017.

Argentina menawarkan suaka tetapi Ecuador enggan memberikan Duarte laluan untuk keluar dari negara itu.

Duarte "berada di kedutaan Argentina di Caracas pada 11 pagi, Selasa lalu", Kementerian Luar Argentina dalam satu kenyataan, tanpa memberikan sebarang butiran mengenai bagaimana dia berjaya melarikan diri ke Venezuela.

Ecuador bertindak balas dengan memanggil Duta Argentina di Quito, Gabriel Fuks, untuk menjelaskan apa yang dianggap tidak konsisten dalam penjelasan kedutaan mengenai bagaimana Duarte melarikan diri, dan kerana enggan menyerahkan rakaman pengawasan video dari dalam kedutaan.

Pada Isnin, Menteri Luar Argentina Santiago Cafiero memberitahu rakan sejawatannya dari Ecuador, Duarte melarikan diri dari misi diplomatik tanpa pengetahuan kakitangan di sana.

Kemudian pada Selasa, Ecuador mengisytiharkan Fuks sebagai persona non grata dan memanggil semula dutanya di Argentina, kata Menteri Luar Ecuador Juan Carlos Holguin.

Duarte disabitkan kesalahan bersama Correa dan bekas pegawai kerajaan yang lain berhubung meminta rasuah bernilai hampir AS$7.6 juta (RM34.2 juta) sebagai balasan kontrak negara, menurut pejabat pendakwa raya.

Correa yang diberikan suaka di Belgium, tempat isterinya dilahirkan, mendakwa menjadi mangsa penganiayaan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 11:31 AM