LEONARD Glenn Francis. FOTO Agensi
LEONARD Glenn Francis. FOTO Agensi
AP

San Diego: Kontraktor pertahanan Malaysia dikenali sebagai 'Fat Leonard' ditahan kerana mendalangi satu skandal rasuah terbesar dalam sejarah tentera Amerika Syarikat ( AS).

Lelaki itu ditahan di Venezuela selepas melarikan diri sebelum hukuman dijatuhkan terhadapnya, kata pihak berkuasa pada Rabu.

Pemburuan antarabangsa terhadap Leonard Glenn Francis berakhir dengan penahanannya oleh pihak berkuasa Venezuela pada pagi Selasa di Lapangan Terbang Caracas.

Suspek ditahan ketika hendak menaiki kapal terbang ke negara lain, kata Perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat (AS).

Penahanan itu dibuat sehari sebelum hukuman di Mahkamah Persekutuan di California dijatuhkan terhadapnya.

Skandal rasuah itu berlarutan lebih satu dekad membabitkan puluhan pegawai Tentera Laut AS.

Namun sehingga kini, tiada maklumat lanjut diperoleh bila suspek akan diekstradisi ke AS untuk tindakan seterusnya.

Francis sebelum ini diperintahkan untuk penahanan di rumah sudah memotong gelang pengesanan kedudukan global (GPS) dan melarikan diri sejak 4 September lalu.

Sebanyak 10 agensi penguat kuasa AS kemudian menjalankan operasi besar-besaran selain menawarkan wang AS$ 40,000 (kira-kira RM182,700) kepada sesiapa yang berjaya menyalurkan maklumat.

Francis pada 2015 mengaku bersalah menawarkan khidmat seks, hotel mewah, cerut selain rasuah bernilai AS$ 500,000 (kira-kira RM2.2 juta) kepada pegawai Tentera Laut yang membantunya mendapatkan kontrak kapal tentera kepada syarikatnya yang berpangkalan di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 2:57 PM