Pesawat Airbus A380. -Foto AFP (Fail)
Pesawat Airbus A380. -Foto AFP (Fail)
AFP

ABIDJAN: Masalah enjin memaksa pesawat A380 Air France yang membawa lebih 500 penumpang terpaksa berpatah balik ke Abidjan, Ivory Coast, dan mendarat tanpa kejadian tidak diingini, hari ini.

Menurut penumpang, pesawat gergasi Airbus empat enjin iaitu pesawat penumpang terbesar dunia itu bergegar kuat sepanjang penerbangan ke Abidjan itu.

“Kami sedang terbang melintasi Niger (ke Paris) apabila saya nampak api (di bahagian enjin) selama beberapa saat dan selepas itu bunyi seperti letupan yang kuat di sebelah kiri pesawat,” kata Baudelaire Mieu, wartawan Bloomberg News.

Menurutnya, pesawat mula bergoyang dan penumpang menjadi panik sebelum juruterbang membuat pengumuman menyatakan enjin kiri rosak dan akan berpatah balik ke Abidjan.

Pengurus Air France-KLM untuk Afrika Barat, Jean-Luc Mevellec, yang mengesahkan kejadian berkata: “Secara teknikal ia dikenali sebagai ‘letupan enjin’, masalah yang sudah diketahui.”

“Ia berlaku dari semasa ke semasa dan anak kapal dilatih dengan simulator bagi menghadapinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 9:48 PM