Tempat kejadian berlaku tembakan di Walmart Tumwater. FOTO Google/WFLA
Tempat kejadian berlaku tembakan di Walmart Tumwater. FOTO Google/WFLA
Daily Mail

Washington: Seorang penjenayah yang diburu polis selepas melarikan kenderaan mati ditembak orang awam dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan parkir pasar raya Walmart di Tumwater, Washington.

Kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya dua mangsa termasuk remaja perempuan berusia 16 tahun cedera.

Menurut polis, seorang lelaki bersenjata cuba melarikan sebuah kenderaan manakala pemilik cedera ditembak kini dalam keadaan kritikal dan dihantar ke hospital Seattle untuk rawatan.

Kejadian dikatakan bermula di parkir Sekolah Tinggi Tumwater selepas polis dimaklumkan mengenai seorang pemandu yang memandu dalam keadaan mencurigakan.

Polis yang dalam perjalanan ke tempat kejadian kemudian menerima laporan kejadian kecurian kereta dan melepaskan tembakan di sebuah persimpangan berhampiran.

Kereta itu dikejar sehingga pasar raya berkenaan dan suspek keluar dari kereta terbabit sebelum cuba mencuri kenderaan lain.

Dia sempat menembak pemandu kereta kedua namun tidak sempat melarikannya sebelum ditembak orang awam yang bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 7:31 PM