PENUNJUK perasaan bertempur dengan polis di Charlotte, Carolina Utara, semalam. - Reuters
PENUNJUK perasaan bertempur dengan polis di Charlotte, Carolina Utara, semalam. - Reuters
Agensi

Washington: Keganasan meletus di bandar di Carolina Utara awal semalam selepas seorang lelaki kulit hitam mati ditembak polis.

Puluhan anggota polis dan beberapa penunjuk perasaan cedera dalam keganasan itu.

Menurut laporan, beratus-ratus orang berkumpul untuk membantah tindakan polis menembak mati lelaki kulit hitam, Keith Lamont Scott, 43.

Tunjuk perasaan mula berkumpul lewat kelmarin berhampiran kawasan apartmen di bandar Charlotte, tempat tembakan berlaku.

Apabila berita mengenai kejadian itu tersebar, jumlah penunjuk perasaan bertambah ramai dengan sebahagian mereka membawa sepanduk ‘Black Lives Matter’ sambil melaungkan ‘Tiada keadilan, tiada keamanan!’

Beberapa penunjuk perasaan turut melakukan pembakaran untuk memaksa sebuah jalan utama ditutup. Ada yang membakar trak.

Keganasan itu berlaku beberapa hari selepas seorang anggota polis dirakam menembak seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata di Tulsa, Oklahoma.

Kedua-dua kejadian itu menyusul beberapa kejadian yang menyaksikan penduduk kulit hitam ditembak mati - dari di Baton Rouge, Louisiana hingga ke Dallas, Texas – yang mendorong masyarakat kulit hitam Amerika mendesak pembaharuan dilakukan terhadap pasukan polis.

Polis yang terbabit dalam kejadian semalam, Brentley Vinson, dipaksa bercuti.

Kejadian berlaku ketika polis memburu suspek yang mempunyai waran tangkap.

Mereka menemui Scott, bukan lelaki yang dicari, di tempat letak kereta apartmen itu.

Ketua polis berkata, Scott ditembak kerana dia dilihat mengeluarkan senjata.

Bagaimanapun, keluarga mangsa berkata, lelaki itu tidak bersenjata tetapi yang dipegangnya ialah buku. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 8:06 AM