KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Arkib NSTP
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Tindakan anggota polis melepaskan tembakan ketika cuba menahan sebuah kereta di Jalan Simpang Tiga di sini, malam tadi, adalah kerana kereta itu dipandu dalam keadaan bahaya, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

"Kira-kira 7.20 malam tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching melepaskan tembakan semasa cuba menahan sebuah kereta Proton Saga warna kelabu yang mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan pemandu kereta itu iaitu lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan kes itu akan dilakukan menyeluruh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Bernama, malam tadi, melaporkan polis menembak mati seorang lelaki yang memandu Proton Saga selepas dipercayai cuba merempuh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Simpang Tiga, di sini.

Kejadian turut menyebabkan beberapa kenderaan milik orang awam rosak dilanggar oleh suspek yang dikatakan cuba melarikan diri.

Sementara itu, Aidi berkata untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, anggota-anggota polis terbabit sudah ditukarkan bertugas ke bahagian pentadbiran.

"Lima (anggota yang terbabit)... semua daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Berita berkaitan

Lelaki maut ditembak ketika cuba melarikan diri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 10:06 AM