KEMUNCULAN beruang mengejutkan pengunjung pasar raya di Los Angeles.
KEMUNCULAN beruang mengejutkan pengunjung pasar raya di Los Angeles.
Agensi

Los Angeles: Pengunjung sebuah pasar raya di Porter Ranch terkejut dengan kehadiran seekor beruang di ruang beli-belah.

Kejadian itu berlaku ketika pelanggan sibuk memilih barang keperluan harian di pasar raya berkenaan.

Video haiwan itu tular di laman sosial menunjukkan beruang itu berjalan di ruang pameran sebelum keluar dari pasar raya.

Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar California menerima laporan berhubung kejadian tidak lama selepas itu.

Menurut laporan, beruang itu dilihat berkeliaran di kawasan parkir kenderaan di Walmart, lapor pegawai jabatan kepada KTLA.

Sekumpulan pegawai dan anggota kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk mengesan haiwan berkenaan.

Beruang jantan seberat lebih 100 kilogram itu ditemui di kawasan pembinaan berhampiran parkir kereta Walmart.

Pegawai itu berkata, mereka menggunakan beg kekacang untuk menolak beruang itu keluar dari bahagian bawah sebuah treler.

Ia kemudian berjaya dimasukkan ke dalam sangkar dan dibawa ke kawasan pergunungan Santa Susana.

Kawasan beruang itu ditemui terletak 2.4 kilometer dari kawasan pergunungan yang masih tidak dibangunkan.

Pegawai hidupan liar juga meletakkan tanda telinga pada beruang itu supaya mereka boleh mengenal pasti jika haiwan itu kembali ke kawasan kejiranan.

"Beruang itu keluar dari kawasan pergunungan dan ke bandar untuk mencari makanan dan air," kata pegawai itu.

Pegawai hidupan liar juga percaya banyak lagi haiwan akan keluar dari habitat kerana mahu mencari makanan akibat kemarau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 6:30 AM