LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Mazlan melawat anggota polis yang cedera ketika berbalas tembakan dengan lima penjenayah yang menyamun kedai emas dalam pasar raya di Jalan Kuchai Lama, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Mazlan melawat anggota polis yang cedera ketika berbalas tembakan dengan lima penjenayah yang menyamun kedai emas dalam pasar raya di Jalan Kuchai Lama, semalam.
Safeek Affendy Razali


KUMPULAN lima penjenayah bersenjata api yang ditembak mati selepas menyamun kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama, petang semalam, didapati sering mengancam keselamatan orang awam terutama di lokasi sasaran jenayah mereka.

Motif utama suspek membawa senjata api ketika melakukan kegiatan samun adalah untuk mendatangkan ketakutan kepada mangsa supaya tidak cuba untuk melawan atau cuba mengancam keselamatan suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata selain aktif dalam kejadian samun kedai emas, suspek terbabit turut aktif dalam beberapa siri kejadian samun kenderaan mewah, samun dalam rumah dan melarikan kereta serta samun pengurup wang.

“Kalau dilihat pada modus operandi suspek, mereka amat berbahaya kepada orang ramai yang menjadi mangsa dan sasaran mereka disebabkan mereka bersenjata api ketika melakukan samun.

“Malah tindakan mereka menyamun kedai emas di dalam kawasan pasar raya mampu mengancam keselamatan orang ramai atau pengunjung di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sebagai contoh, dalam kejadian samun kedai emas di Jalan Kuchai Lama itu, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis yang cuba menahan mereka daripada melarikan diri selepas melakukan samun.

Beliau berkata, tindakan mereka kejam kerana akan mengancam sesiapa sahaja yang cuba untuk memberkas mereka.

“Polis terpaksa membalas tembakan mereka bagi mempertahankan diri serta keselamatan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

“Kesimpulannya tindakan pantas polis semalam berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah bersenjata api seperti ini bagi mengelak lebih ramai lagi yang menjadi mangsa dan sasaran mereka,” katanya.

Mazlan berkata, dalam kejadian 4.30 petang semalam, enam suspek lelaki warga tempatan dilaporkan meluru masuk ke dalam pasar raya berkenaan sebelum menyamun sebuah kedai emas.

“Sejurus melakukan samun dan keluar dari pasar raya berkenaan, suspek bertembung dengan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Pasukan terbabit tiba di situ selepas menerima maklumat awam mengenai kehadiran beberapa individu mencurigakan yang memakai topi keledar dalam kereta di kawasan pasar raya.

“Apabila mereka bertembung, berlaku insiden berbalas tembakan sehingga empat daripada mereka ditembak di lokasi kejadian manakala seorang lagi suspek cuba melarikan diri dengan kereta dan ditembak sekitar 400 meter dari lokasi pasar raya berkenaan,” katanya.

Mazlan berkata, dalam insiden berbalas tembakan itu, seorang anggota polis cedera terkena anak peluru pada bahagian lutut kiri.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihak polis menemui dua pucuk pistol, sebilah parang dan kapak serta dua kereta iaitu Perodua Myvi serta Mercedes yang digunakan suspek selain merampas semula sejumlah barang kemas yang disamun.

Berita berkaitan

'Anggota polis cedera stabil'

'[UPDATE] Menggigil dengar 'hujan' peluru'

'Lima penjenayah tersungkur... [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:05 PM