GAMBAR fail, penjara di Osio yang dilaporkan menjalankan aktiviti lombong berlian haram. - Agensi
GAMBAR fail, penjara di Osio yang dilaporkan menjalankan aktiviti lombong berlian haram. - Agensi

Kinshasa: Sebuah lombong berlian haram ditemui beroperasi di bawah penjara di Republik Demokratik Congo (DRC) yang dijalankan penghuninya bersama penduduk kampung berhampiran.

Akhbar Metro melaporkan, banduan, pengawal penjara dan penduduk tempatan di Osio bekerja di lombong itu untuk mengeluarkan berlian sehingga segelintir bekas pesalah enggan meninggalkan penjara walaupun selepas hukuman mereka tamat.

Lombong itu bagaimanapun diarahkan ditutup oleh ketua bahagian keadilan wilayah, Gerard Kombozi dengan ancaman sesiapa yang masih bekerja di situ berdepan tindakan perundangan.

Menurut Radio Okapi, Kombozi menuding jari terhadap banduan sebagai pihak bertanggungjawab mengendalikan lombong haram itu.

“Malah ada yang enggan meninggalkan penjara walaupun sudah tamat tempoh hukuman.

“Lebih 30 orang termasuk pengawal penjara ditemui di tempat kejadian pada hari lokasi itu diserbu pihak berkuasa.

“Ada antara mereka ditangkap ketika melombong manakala ada juga yang sedang membungkus berlian,” katanya.

Menurutnya, banduan terbabit mengaku menemui dan menjual berlian seberat 0.1 hingga 01.15 gram. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 4:53 AM