LOKASI penemuan pesawat berkenaan. FOTO Agensi
LOKASI penemuan pesawat berkenaan. FOTO Agensi
AFP

Kinshasa: Serpihan pesawat kargo yang hilang bersama tiga penumpang di dalamnya ditemukan di taman negara di Republik Demokratik Congo pada Sabtu, kata sumber lapangan terbang kepada AFP.

Pesawat Goma Express hilang sejak Khamis lalu.

"Bangkai (pesawat) akhirnya ditemui pagi Sabtu di tengah-tengah Taman Negara Kahuzi-Biega," kata sumber dari lapangan terbang di Bukavu, ibu kota wilayah Kivu Selatan, kepada AFP.

Pesawat itu berlepas pada Khamis lalu dengan membawa tiga penumpang termasuk dua anak kapal iaitu seorang juruterbang Ukraine dan pembantu juruterbang Uganda, bersama-sama seorang penumpang dan barangan, katanya.

Nasib tiga orang itu belum diketahui.

Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Kasese di wilayah timur Maniema ke Goma, ibu kota wilayah Kivu Utara.

Disebabkan cuaca buruk, juruterbang itu melakukan percubaan untuk mendarat di lapangan terbang Kavumu di Bukavu tetapi gagal, kata sumber itu kepada AFP.

Taman Negara Kahuzi-Biega adalah lokasi penempatan gorila dan keluasannya menjangkau lebih 6,000 kilometer persegi.

Pesawat kecil adalah cara utama mengangkut keperluan asas dan galian di timur DRC, yang menjadi rumah kepada puluhan kumpulan bersenjata.

Pada 2020, empat penumpang terbunuh apabila sebuah pesawat kecil terhempas di taman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 11:25 AM