TANGKAP layar video tular di media sosial.
TANGKAP layar video tular di media sosial.
Agensi

Kinshasa: Sebuah jambatan yang baru dirasmikan di daerah Mont-Ngafula ibu kota Republik Demokratik Kongo (DRC) runtuh pada Rabu.

Ketika kejadian, beberapa individu yang merasmikan jambatan itu masih berada di struktur binaan berkenaan.

Video kejadian itu kemudiannya tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen negara berkenaan.

Penularan video kejadian mendapat perhatian umum apabila mendapat 6.5 juta tontonan di Twitter dengan 55,000 tanda suka.

Kejadian berlaku kurang tiga saat selepas jambatan itu dirasmikan menyebabkan keadaan bertukar cemas.

Menerusi rakaman itu, individu yang merasmikan jambatan berkenaan sempat memotong riben namun struktur binaan kelihatan melengkung.

Jambatan itu runtuh dipercayai tidak mampu menampung kapasiti individu yang berada di atas struktur itu.

Orang ramai yang berada berhampiran jambatan itu menjerit ketakutan susulan insiden berkenaan.

Guardian melaporkan insiden itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan parah atau kematian.

Mereka yang berada di atas jambatan itu juga kelihatan bertungkus lumus untuk keluar dari sisa runtuhan.

Pasukan keselamatan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 12:37 PM