KENDERAAN dipercayai milik suspek polis. FOTO ihsan polis
KENDERAAN dipercayai milik suspek polis. FOTO ihsan polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Rahsia kehidupan mewah seorang juru hias majlis terbongkar apabila dia ditahan bersama lebih 25 kilogram (kg) dadah dalam serbuan di Cheras dan Kajang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan jam 12 tengah hari bersama 22.67 kg dadah jenis kanabis dan 27.76 gram (g) erimin 5 di sebuah kereta jenis Honda Insight.

Menurutnya, hasil soal siasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kemudian menyerbu sebuah kondominium mewah di sekitar Kajang yang dipercayai dijadikan stor simpanan dadah.

"Serbuan di Kajang menemui 4.29 kg dadah jenis kanabis dianggarkan bernilai RM13,299 dan merampas dua kenderaan iaitu Toyota Alphard dan Mini Cooper.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki aktif dalam aktiviti pengedaran dadah yang diperolehi daripada sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai mendapatkan bekalan daripada pengedar lain di sekitar ibu negara sebelum diedarkan di sekitar kawasan Cheras, bagaimanapun sumber sebenar dadah masih dalam siasatan lanjut.

Katanya, suspek menjadikan sebuah kondominium mewah yang berpengawal keselamatan sebagai stor simpanan bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa namun taktik itu berjaya dihidu polis.

"Suspek bekerja sendiri sebagai juru hias majlis dipercayai menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada maklumat orang awam yang disalurkan kepada pihak polis," katanya.

Ravindar berkata, keseluruhannya polis merampas 24.96 kg kanabis, 27.75 g pil erimin 5 bernilai RM77,947, wang tunai RM3,000 dan tiga kereta.

Katanya, jumlah dadah berkenaan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 5,000 pengguna di Lembah Klang.

"Suspek direman enam hari bermula semalam sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak polis turut mengalu-alukan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang bolehkah menghubungi IPD Cheras di talian 03-92050222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 2:37 PM