Zainal Abidin Ahmad.
Zainal Abidin Ahmad.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjalankan penilaian terperinci berkaitan dengan pengumuman Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh "ketidakaturan prosedur".

"(Kami) sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia mengenai kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluaran kami.

"Kami memohon maaf kepada pelanggan yang kami hargai dan orang awam atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, Perodua akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggannya dalam masa terdekat.

Pada 28 April lepas, DMC mengumumkan berlakunya "ketidakaturan prosedur" semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun dan menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

Laporan jawatankuasa audit bebas mendedahkan bahawa pemeriksaan dan ujian mengesahkan kesemua 174 ketidakaturan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaianyang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan.

Menurut laporan berita, ketidakaturan itu membabitkan 64 model dan tiga enjin kenderaan, termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota.

Sebagai respons kepada penemuan itu, Daihatsu memutuskan untuk menggantung sementara penghantaran modelnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 8:24 AM