MODEL konsep Nori Ori yang praktikal.
MODEL konsep Nori Ori yang praktikal.
MODEL konsep Tempo untuk kegunaan komersial.
MODEL konsep Tempo untuk kegunaan komersial.
MODEL sporty Copen hanya berkuasa 660cc.
MODEL sporty Copen hanya berkuasa 660cc.
MODEL konsep D-Base berasaskan model Mira.
MODEL konsep D-Base berasaskan model Mira.
Oleh Badrila Jamlus (yang mengunjungi Pameran Motor Tokyo 2015 baru-baru ini )


Daihatsu Motor Co Ltd (Daihatsu) memperkenalkan empat model konsep terbarunya dan 10 model baru secara komersial di Pameran Motor Tokyo, di sini, minggu lalu.

Pengenalan model konsep bagi peringkat antarabangsa itu dilancarkan Presiden Daihatsu Motor Co Ltd, Masanori Mitsui. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Datuk Aminar Rashid Salleh.

Dalam Pameran Motor Tokyo ke-44 tahun ini, Daihatsu memperkenalkan idea ‘Possible’ berdasarkan konsep tema pameran Motor Tokyo kali ini iaitu ‘Your heart will race’ dengan sasaran menunjukkan bagaimana pengeluar kenderaan mewujudkan suasana keseronokan setiap hari menerusi evolusi kenderaan mini yang menjadi sebahagian daripada kehidupan.

Empat model konsep itu ialah Nori Ori, Tempo, D-Base dan Hinata manakala kereta yang memasuki pasaran termasuk Cast Activa, Cast Style, Copen Cero, Move dan Tanto Custom.

Model konsep Nori Ori seakan van mini misalnya memberi fokus kepada kenderaan komuter pelbagai guna untuk masa depan khususnya kepada golongan kurang upaya dan keluarga. Model itu mempunyai dua pintu akses yang besar manakala lantainya yang rendah dan rata membolehkan ia membawa sehingga dua kerusi roda menerusi pintu sisi dan belakang.

Model Tempo pula mewakili kenderaan kompak komersial serba ruang generasi baru yang boleh diubah suai sebagai sebuah ‘cafe bergerak’ yang penuh gaya dan lengkap dengan kaunter jualan serta paparan panel LED dibahagian bawah badan kenderaan itu.

Bagi model konsep Daihatsu D-Base pula, ia adalah model generasi akan datang yang mungkin bakal menggantikan model Daihatsu Mira. Ketika ini, Mira menjadi model asas kepada pengeluaran model Perodua seperti Kancil dan Viva.

Model konsep keempat iaitu Hinata pula adalah model asas mini yang menggabungkan dua model Daihatsu yang sudah dipasarkan secara komersial iaitu Wake dan Tento dengan pelbagai ciri kedudukan tempat duduk.

Tidak ketinggalan model kompak Cast berkuasa 660cc yang hadir dalam tiga varian iaitu Activa, Style dan Sport selain model Move, Tanto, Wake dan model sport berkuasa 660cc, Copen yang dilengkapi enjin suntikan Turbo.

Pameran dwitahunan itu kali ini disertai 30 pengeluar kereta seluruh dunia dan 130 syarikat berkaitan industri automotif diadakan di Tokyo Big Sight di Koto Ward. Sebanyak 15 jenama dari Jepun manakala 26 jenama antarabangsa mengambil bahagian kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:01 AM