Mohd Zaky Zainuddin


TOKYO: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bersedia berkongsi kepakaran vendor, teknologi dan kemudahan pemasangan dengan pengeluar kereta nasional ketiga demi kepentingan pasaran automotif tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua menyokong projek pembangunan dan menerima secara positif kehadiran jenama baharu kereta nasional itu kerana ia bakal melengkapi ekosistem jenama tempatan di pasaran.

“Kami memiliki lebih 150 vendor yang ada keupayaan dan kemampuan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada mana-mana pengeluar, termasuk jenama nasional ketiga.

“Daripada jumlah itu, lebih 40 peratus vendor dimiliki berupaya mereka bentuk dan menghasilkan komponen penting kepada sesiapa saja yang berminat. Untuk projek kereta nasional ketiga, Perodua amat mengalu-alukan mereka bekerjasama dengan vendor kami,” katanya kepada media Malaysia dalam satu sesi ramah mesra bersempena Tokyo Motor Show 2019 di sini, semalam.

Terdahulu, Presiden Daihatsu Motor Co Ltd (DMC), Soichiro Okudaira menyokong permintaan kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan berhubung projek kereta nasional ketiga yang akan dibangunkan bersama DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE).

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, Perodua turut melihat perkongsian teknologi DMC dari sudut positif dengan matlamat utamanya untuk kepentingan negara.

Beliau berkata, ia selaras dengan konsep perkongsian teknologi dan kebersamaan yang sering diamalkan DMC untuk memastikan segala kebaikan dapat dikecapi semua pihak.

“Kami tiada masalah jika DMC mahu berkongsi teknologi dengan jenama kereta nasional ketiga. Kami yakin mereka boleh menangani perkara ini dengan baik,” katanya.

Zainal Abidin berkata, Perodua bersedia berkongsi kemudahan pengeluaran dengan mana-mana syarikat termasuk pengeluar kereta nasional ketiga selagi platform yang digunakan adalah sama.

“Ini kerana kilang Perodua di Serendah masih memiliki kapasiti mengeluarkan lebih banyak kenderaan jika ada yang berminat menggunakan kemudahan kami.

“Kapasiti pengeluaran kereta Perodua sekitar 250,000 dan 260,000 setahun sedangkan kami boleh menghasilkan 320,000 unit setahun dan boleh mencecah sehingga 370,000 unit.

“Cuma untuk pengeluaran lebih 320,000 unit, ia memerlukan pelaburan tambahan termasuk membabitkan kos buruh. Justeru, dari satu sudut kita bersedia bekerjasama dengan sesiapa saja kerana ia bagus untuk perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:53 AM