TUNKU Alizakri Alias. FOTO arkib NSTP
TUNKU Alizakri Alias. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) melantik Tunku Alizakri Alias sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa hari ini.

"Kami berbesar hati mengalu-alukan Tunku Alizakri Alias sebagai pengerusi baharu kami.

"Memandangkan pengalaman luas dan kepakaran beliau serta rekod prestasinya yang baik kami yakin MAVCAP akan dapat melangkah lebih jauh di bawah pimpinan beliau," kata MAVCAP dalam satu kenyataan hari ini.

Tunku Alizakri memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam pengurusan kanan dan di peringkat lembaga pengarah dalam sektor seperti pengurusan dana, perbankan pusat, keselamatan sosial, penjagaan kesihatan, media dan telekomunikasi dan minyak dan gas, antara lainnya.

Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari 2018 hingga Februari 2021.

Beliau merupakan timbalan ketua pegawai eksekutif (strategi) semasa menyertai dana persaraan itu pada 2014.

Di bawah pimpinannya, KWSP juga menjadi dana pencen pertama Asia membentuk sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus bagi portfolionya untuk dicapai menjelang 2030.

MAVCAP merupakan syarikat modal teroka terbesar negara dan dimiliki sepebuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 4:11 PM