Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan seramai 163,868 pencarum di seluruh negara melakukan pendaftaran untuk bertukar daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah dalam tempoh empat hari bermula Isnin hingga semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 41,583 pencarum melakukan pendaftaran terbabit pada 8 Ogos, 46,686 (9 Ogos), 38,613 (10 Ogos) dan 36,986 (sehingga jam 5 petang, semalam.

KWSP dalam kenyataannya berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pendaftaran kaunter sepanjang minggu ini masih tinggi dan pencarum dinasihatkan untuk mengikuti laman Facebook KWSP dan Twitter untuk maklumat terkini mengenai status cawangan sesak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya berkemungkinan memaparkan jumlah pelanggan yang mendaftar untuk bertukar kepada skim Simpanan Shariah melalui laman web pada setiap hari.

“Kami akan memberi maklumat kepada pencarum apabila jumlah pendaftaran mencapai angka tertentu dan langkah ini akan menjadikan pencarum maklum mengenai pertukaran ini dan tiada siapa ditukarkan tanpa disedari,” katanya pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Keselamatan Sosial 2016 di sini, semalam.

Ketika mengulas keperluan KWSP mengubah strategi pelaburan berikutan pengenalan skim Simpanan Shariah, beliau berkata pihaknya tidak perlu mengubah strategi itu kerana KWSP memiliki Peruntukan Aset Strategik (SAA) yang perlu diikuti dan dipatuhi.

Pada masa sama, Alizakri berkata, pencarum perlu memastikan keadaan kewangan mereka baik namun menegaskan, ia tidak mencukupi untuk menghadapi persaraan berikutan kajian Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan hanya 40 peratus rakyat Malaysia bersedia menghadapi persaraan.

“Mereka perlu melihat kepada alternatif lain seperti insurans, unit amanah, skim persaraan swasta (PRS), hartanah dan penjagaan kesihatan. Kami menawarkan khidmat nasihat persaraan untuk mereka yang ingin mendapatkan panduan secara percuma,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam ucapannya berkata, KWSP menganggarkan 150,000 pencarumnya sudah mendaftar bagi Simpanan Shariah setakat semalam.

“Sambutan terhadap Simpanan Shariah ternyata memberangsangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 10:50 AM